Faizal Saari Sertai Liga Belanda

Faizal Saari Sertai Liga Belanda

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan hari ini secara rasmi mengumumkan penyerang kebangsaan, Faizal Saari akan menyertai Liga Premier Belanda (Hoffdklasse) bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde dan Faizal Saari merupakan pemain Malaysia yang pertama bakal beraksi di Liga Utama Belanda.

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak di mana Faizal akan berlepas ke Belanda pada 11 Ogos ini dan mengikat kontrak selama 10 bulan bersama pasukan tersebut.

Majikan Faizal Saari ketika ini iaitu Kelab Hoki Terengganu (THT) turut memberikan persetujuan untuk melepaskan Faizal beraksi di sana, namun Faizal akan kembali ke Malaysia pada November ini apabila liga tersebut berhenti seketika.

Faizal akan menyambung tugasnya membantu pasukan kebangsaan yang akan menyertai kejohanan “Nations Cup” di Afrika Selatan selain akan turut kembali ke pangkuan THT bagi membantu pasukan itu menghadapi saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2023.

“Kelab Hoki ZSV Schaerweijde merupakan pasukan yang akan bermain di Liga Hoffdklasse dan mereka merupakan pasuka yang baru naik daripada divisyen dua pada musim lalu ke liga utama.

“Sepanjang keberadaan Faizal di Belanda, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Coach A. Arulselvaraj dan Jurulatih Kecergasan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Tom Drowley, akan memantau keadaan Faizal.

“Faizal akan dibekalkan dengan sistem GPS yang akan membantu mereka untuk memantau prestasi dan persembahan Faizal semasa beraksi di liga tersebut. GPS yang dibekalkan merupakan peranti canggih yang membolehkan jurulatih di Malaysia memantau Faizal yang berada di Belanda.

“Non Objection Certificate (NOC) Faizal juga telah disiapkan dan NOC tersebut juga mendapat persetujuan daripada Kelab Hoki Terengganu (THT),” jelas Dato’ Najmi Razak dalam sidang media yang berlangsung hari ini di Pejabat KHM.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal turut menyatakan bahawa langkah yang diambil oleh KHM dengan menjadikan Faizal Saari sebagai pemain pertama di hantar beraksi di liga utama luar negara adalah sebagai langkah permulaan untuk membuka ruang kepada lebih ramai pemain kebangsaan untuk turut beraksi di liga terkemuka luar negara.

“Hasrat KHM untuk menghantar pemain kebangsaan bermain di liga luar negara bukan hanya beraksi di liga luar negara semata-mata tetapi beraksi di liga yang berkualiti, terkemuka iaitu liga divisyen utama seperti di Belanda, Belgium juga Australia.

“Kami di KHM amat berharap bukan sahaja Faizal Saari tetapi lebih ramai pemain kebangsaan beraksi di luar negara dan sekurang-kurangnya pada tahun hadapan lebih ramai pemain kebangsaan akan beraksi di liga utama luar negara.

“Selain itu, kami akan turut menyediakan satu sistem pemantauan khas untuk memantau prestasi mereka,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dato’ Sri Subahan Kamal turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Hoki Negeri Terengganu di bawah kepimpinan En. Fikri Harun yang telah memberikan kebenaran kepada Faizal Saari untuk berkelana di luar negara.

Pastinya pengalaman yang bakal dibawa pulang oleh Faizal bukan hanya akan memberikan kebaikan pasukan kebangsaan tetapi juga buat Persatuan Hoki Negeri Terengganu.