Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam perlawanan liga satu pusingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand selepas tidak berdepan masalah menundukkan lawan mereka, Chinese Taipei, 12-2.
Pertemuan yang berlangsung hari ini menyaksikan Malaysia menjaringkan enam gol gerakan padang, empat gol daripada kelebihan pukulan sudut penalti dan dua gol daripada penalti stroke selain kapten pasukan, Razali Mohd Hazemi dipilih selaku pemain terbaik perlawanan.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, Muhamad Amin Rahim tidak mementingkan jumlah jaringan besar yang dicetak oleh anak-anak buahnya hari ini namun memandang peningkatan prestasi yang dipamerkan sebagai keutamaan.
“Alhamdulillah, secara keseluruhan pemain beraksi lebih baik berbanding semalam. Bagaimanapun kami akan melihat semula bagaimana pasukan lawan mampu untuk menjaringkan gol dalam keadaan kami sedang mengawal permainan.
“Apa yang menggembirakan untuk saya hari ini adalah pemain berjaya menjaringkan gol menerusi semua cara iaitu gerakan padang, pukulan sudut penalti dan penalti stroke dan saya berharap momentum baik ini akan berterusan.
“Untuk perlawanan menentang Thailand esok, mereka merupakan pasukan yang lebih baik dari segi permainan hoki dalam dewan dan kami akan menganalisi kekuatan pasukan lawan sebagai persediaan sebelum turun bertemu mereka.
“Saya juga berharap pemain akan terus mengekalkan corak permainan baik dan peningkatan yang telah mereka pamerkan sebelum ini dalam perlawanan ketiga nanti,” jelasnya ketika dihubungi.
Untuk aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit kelima dan seminit kemudian gol kedua terhasil menerusi gerakan padang Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah sebelum giliran Faridzul Afiq Mohd melebarkan jurang gol pada minit ke-14.
Bersambung suku ketiga, Malaysia menambah dua lagi gol kali ini hasil gerakan padang Shello Silverius pada minti ke-22 sebelum Chinese Taipei berjaya mencetak satu gol padang menerusi Tsai Chang-Yu pada minit ke-28.
Bagaimanapun seminit kemudian, Kapten Pasukan, Razali Mohd Hazemi terus memastikan Malaysia selesa mendahului 5-1.
Suku terakhir perlawanan, Malaysia terus membolosi pintu gol Chinese Taipei bermula dengan kelebihan penalti stroke yang disudahkan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minti ke-31, Muhamad Izham Azhar terus meletakkan Malaysia selesa di hadapan pada minit ke-34 hasil gol padang.
Minit ke-36, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan penalti stroke dan kali ini giliran Shello Silverius untuk memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada jaringan sebelum Chinese Taipei bertindak balas dengan menjaringkan gol kedua hasil gerakan padang Hsieh Tsung-Yu.
Tersentak dengan gol kedua lawan, Malaysia membalas empat lagi gol dalam tempoh tiga minti sebelum masa sebenar perlawanan tamat bermula gol Muhamad Izham Azhar pada minti ke-37, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah menjaringkan dua gol berturut-turut dalam tempoh seminit (m’38 dan m’39) sebelum Faridzul Afiq Mohd melengkapkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-40 hasil pukulan sudut penalti.
Esok, Rabu (10 Ogos) Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita negara akan turun menentang tuan rumah, Thailand bermula dengan Skuad Lelaki akan beraksi jam 7:15 malam waktu Malaysia diikuti Skuad Wanita pada jam 8:30 malam waktu Malaysia.









