Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara, mencatat kemenangan bergaya menewaskan tuan rumah, Thailand dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand.
Kemenangan 3-0 yang diraih oleh Skuad Wanita Negara ke atas Thailand menyaksikan mereka kini telah layak untuk melangkah ke pusingan separuh akhir selepas mengumpul enam mata dalam dua perlawanan dan akan bertemu Singapura untuk aksi pelengkap Kumpulan B.
Sementara kemenangan 5-0 yang dicatat oleh Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, menyaksikan mereka kekal berada di puncak carta Liga Satu Pusingan dengan mengumpul sembilan mata penuh hasil tiga perlawanan dan masih mempunyai tiga perlawanan berbaki.
Kapten Pasukan Lelaki Negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Penjaga Gol Skuad Wanita Negara, Farah Ayuni Yahya dipilih selaku pemain terbaik perlawanan menentang Thailand.
Terdahulu dalam perlawanan yang menemukan Skuad Lelaki Negara dengan Thailand menyaksikan mereka diberikan tentangan oleh pasukan tuan rumah pada suku pertama apabila kedua-dua pasukan dilihat terus melancarkan serangan bagi mendapatkan gol awal.
Minit ke-15, Malaysia dihadiahkan dengan kelebihan pukulan sudut penalti kedua dan Kapten Pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan memastikan Malaysia menuju rehat separuh masa pertama dengan kelebihan mendahului lawan 1-0.
Bersambung separuh masa kedua, empat lagi gol berjaya dicetak oleh kem kebangsaan bermula dengan dua gol pada suku ketiga masing-masing hasil gol padang Norsyafiq Sumantri (m’21) dan Faridzul Afiq Mohd (m’28).
Dua lagi gol terhasil pada suku keempat di mana Norsyafiq Sumantri sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-34 dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan melengkapkan gol kemenangan Malaysia menerusi penyudahan pukulan sudut penalti pada minit ke-36.
Pengendali Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, Muhamad Amin Rahim menuntut anak-anak buahnya untuk terus mengekalkan momentum terbaik mereka kerana tiga lawan yang berbaki bukan lawan yang mudah untuk Malaysia yang akan bertemu Iran, Indonesia dan Kazakhstan.
“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan hari ini dan pujian harus diberikan kepada setiap pemain yang cukup berdisiplin mengikut perancangan pasukan. Pemain telah memberikan sepenuh komitmen dan menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan hari ini.
“Esok merupakan hari rehat untuk kami dan pemain perlu menggunakan masa rehat tersebut sebaik mungkin dengan melakukan proses pemulihan yang betul selepas bermain tiga perlawanan berturut-turut.
“Kejohanan masih belum tamat dan saya menuntut pemain untuk kekal fokus kerana tiga lawan yang menyusul adalah lawan yang kuat untuk kami hadapi dan bagi perlawanan keempat menentang Iran, saya akan melakukan analisa mengenai pasukan lawan di mana Iran merupakan pasukan yang kuat dan berada di ranking ketiga dunia.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu pemain terlalu menghormati lawan kerana saya percaya kami mampu untuk memberi tentangan pada Iran dan yang paling penting pemain perlu percaya dengan kemampuan diri mereka sendiri serta perancangan pasukan,” jelasnya ketika dihubungi.




Sementara aksi yang melibatkan Skuad Wanita Negara menyaksikan Malaysia perlu menunggu sehingga minit ke-22 apabila Iren Hussin berjaya membolosi gawang pasukan lawan hasil gerakan padang.
Berselang seminit kemudian, giliran Nur Aisyah Yaacob untuk mencatat nama selaku penjaring selepas menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti dan gol padang Qasidah Najwa Muhammad Halimi seminit sebelum tamat masa sebenar permainan melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Thailand.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd, Rodhanizam Mat Radzi memuji barisan pemainnya yang beraksi dengan baik sebagai satu pasukan dan dapat mengawal permainan dengan baik walaupun Thailand berada di ranking lebih atas daripada Malaysia.
“Untuk perlawanan hari ni bertemu Thailand, pemain bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Ada beberapa kesilapan-kesilapan mudah dilakukan oleh pemain, tetapi dengan pantas mereka dapat memperbaiki dalam perlawanan.
“Saya bangga dengan pemain saya kerana mereka telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini. Barisan kejurulatihan, pegawai perubatan, juruvideo pasukan telah banyak membantu dalam persiapan pertemuan hari ini.
“Esok adalah hari rehat untuk pasukan, kami akan gunakan sebaiknya masa yang ada untuk memperbaiki kekurangan dan kesilapan selain bersedia untuk menghadapi perlawanan menentang Singapura,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.
Skuad Wanita negara akan turun untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan B bertemu Singapura pada Jumaat (12 Ogos) jam 1:15 tengah hari waktu Malaysia sementara Skuad Lelaki Negara akan turun pada hari yang sama jam 6:00 petang waktu Malaysia bertemu Iran.










