Perlawanan keempat Liga Satu Pusingan, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) yang menemukan Malaysia dengan Iran di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand menyaksikan Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara, akur tewas 0-3 kepada pasukan yang berada di ranking ketiga dunia itu.
Malaysia yang kini dikedudukan ranking ke-21 dunia bagi Sukan Hoki Dalam Dewan bagaimanapun harus diberikan pujian atas aksi tidak menyerah kalah dan tidak memberikan laluan yang mudah buat Iran meraih kemenangan termasuk mematahkan beberapa percubaan pukulan sudut penalti dan gerakan padang oleh pihak lawan.
Skuad Negara bagaimanapun masih mempunyai peluang untuk menempah slot ke pentas final dengan syarat mereka perlu mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan yang berbaki iaitu bertemu Indonesia dan Khazakstan.
Pengendali Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara, Muhamad Amin Rahim tetap memuji persembahan yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya disebalik kekalahan yang dialami mereka hari ini dan menyedari banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang dua baki perlawanan Liga Satu Pusingan.
“Kekalahan pertama hari memberikan petunjuk di mana kedudukan pasukan kami. Setiap peluang yang dimiliki sekiranya tidak dimanfaatkan pasti akan mengecewakan pasukan. Pasukan lawan lebih mengambil peluang yang mereka miliki, maka mereka layak untuk menang perlawanan hari ini.
“Kami akan melihat semula setiap sudut kelemahan dan kesilapan yang dilakukan hari ini dan akan kembali dengan persembahan yang lebih baik.
“Untuk perlawanan menentang Indonesia esok, saya tetap akan menganalisa kekuatan dan kelemahan pasukan lawan kerana mereka agak bagus dalam sukan hoki dalam dewan ini.
“Namun saya tetap percaya dengan kemampuan setiap pemain dan akan tetap memberikan fokus selain tidak akan berganjak daripada objektif utama kami di sini iaitu untuk layak ke final,” jelasnya ketika dihubungi.
Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Iran membuka tirai jaringan pada minit kelima hasil gol pukulan sudut penalti yang disudahkan Mahdi Shahrokhi sebelum Mohammad Asnaashari menjaringkan gol kedua pada minit ke-18 dan Hamid Nooranian melengkapkan gol kemenangan hasil gerakan padang pada minit ke-35.
Esok jam 4:30 petang waktu Malaysia, Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara akan turun bertemu Indonesia bagi perlawanan kelima mereka dalam aksi Liga Satu Pusingan.









