Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Ke Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4, Skuad Lelaki Tentukan Nasib Akhir Mereka, Esok

Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Ke Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4, Skuad Lelaki Tentukan Nasib Akhir Mereka, Esok

Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara bakal beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) selepas akur tewas 0-1 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand, hari ini.

Sementara Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara akan menentukan nasib akhir mereka pada perlawanan terakhir Liga Satu Pusingan menentang Kazakhstan esok, sama ada mereka bakal melangkah ke pentas final atau sebaliknya.

Keputusan seri 2-2 ketika turun menetang Indonesia bagi aksi kelima hari ini menyaksikan Malaysia kini di kedudukan kedua, berkongsi 10 mata bersama Kazakhstan dan perbezaan jaringan memberikan kelebihan buat Malaysia.

Dalam pusingan separuh akhir kategori wanita yang berlangsung hari ini menyaksikan Malaysia dan Indonesia memberikan aksi terbaik dengan saling berbalas serangan dan kedua-dua pasukan memiliki kelebihan pukulan sudut penalti namun ketangkasan penjaga gol kedua-dua pasukan menafikan sebarang gol daripada terhasil.

Bagaimanapun lima saat sebelum aksi sebenar tamat dan ketika perlawanan dilihat bakal diheret hingga ke penentuan shoot-out Indonesia membolosi gawang Malaysia menerusi gol padang Desi Wardani yang sekaligus menafikan hasrat Malaysia untuk melangkah ke pentas final.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd, Rodhanizam Mat Radzi menyifatkan kesilapan tidak menggunakan peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol dengan sebaiknya menidakkan hasrat mereka untuk melangkah ke pentas final.

“Kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi pemain tidak mengambil peluang tersebut dengan baik. Kami mendapat beberapa pukulan sudut penalti, tetapi tidak menfaatkan dengan baik.

“Kami juga dihadiahkan dengan penalti stroke, tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik. Kami memiliki peluang, tetapi kami tidak mengambil peluang yang dimiliki dengan sebaiknya.

“Banyak kesilapan-kesilapan mudah dilakukan oleh pemain. Bagaimanapun, saya bangga dengan pemain kerana memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini hingga tamat.

“Esok adalah hari rehat untuk pasukan, kami akan melakukan analisa perlawanan untuk persediaan perlawanan tempat ke-3 dan ke-4 menentang Kazakhstan. Saya percaya pemain-pemain akan bangkit daripada kekalahan hari ini untuk memberikan yang terbaik dan meraih keputusan yang positif untuk perlawanan terakhir kami.

“Kami terlepas peluang ke perlawanan akhir, kami mesti menang pada perlawanan tempat ke-3 dan ke-4 nanti. Ini adalah satu pengajaran cukup berguna untuk pasukan kami,” jelas beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam pada itu, bagi perlawanan kategori lelaki, Malaysia yang dikejutkan dengan gol pembukaan Indonesia pada minti ke-10 bangkit mengikat kembali kedudukan 1-1 pada minti ke-12 hasil gol penyudahan pukulan sudut penalti, Muhammad Firdaus Omar.

Minit ke-20, Malaysia berada di hadapan selepas gerakan padang Muhammad Ashran Hamsani menghasilkan gol kedua Malaysia. Bagaimanapun empat minit kemudian, Indonesia yang dihadiahkan dengan kelebihan pukulan sudut penalti berjaya mengikat kedudukan 2-2 dan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Pengendali Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara, Muhamad Amin Rahim menyifatkan anak-anak buahnya tidak beraksi pada tahap kemampuan sebenar mereka walaupun menampilkan tahap kesungguhan yang tinggi.

“Kegagalan untuk menyudahan kelebihan pukulan sudut penalti dan memberikan kelebihan pukulan sudut penalti kepada lawan antara penyumbang keputusan hari ini dan kami akan melihat kembali apa lagi kelemahan yang dilakukan hari ini untuk diperbaiki menjelang perlaawanan esok.

“Untuk pertemuan dengan Kazakhstan esok, kami perlu memberikan fokus yang lebih tinggi kerana mereka mempunyai pengalaman bermain di pentas Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang mereka juga gemar mengamalkan corak permainan yang agresif.

“Mereka juga agak bagus dalam pukulan sudut penalti jadi kami perlu lebih kemas dalam bertahan ketika mereka memiliki kelebihan tersebut dan semestinya kami tidak boleh memberikan pukulan sudut penalti yang mudah kepada mereka,” jelasnya.

Malaysia dan Kazakhstan akan membuat perhitungan bagi satu slot ke pentas final pada jam 4:30 petang, waktu Malaysia esok dan keputusan seri sudah cukup untuk Malaysia mengiringi Iran yang terlebih dahulu mengesahkan tempat beraksi di pentas final.