Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Lelaki Negara Ke Final

Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Lelaki Negara Ke Final

Penantian lapan tahun Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara untuk beraksi di final berakhir apabila Malaysia kembali ke pentas akhir Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Kazakhstan dalam perlawanan terakhir Liga Satu Pusingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand, hari ini.

Malaysia yang berkongsi 11 mata keseluruhan bersama Kazakhstan dan Indonesia melangkah ke final selepas kelebihan jaringan meletakkan Skuad Negara di kedudukan kedua dan akan bertemu Iran yang muncul selaku pasukan di kedudukan teratas.

Pemain yang menjaringkan gol tunggal negara menerusi penalti stroke pada minit ke-22, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah diangkat selaku pemain terbaik perlawanan bertemu Kazakhstan, hari ini.

Pengendali Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara, Muhamad Amin Rahim menyifatkan disiplin yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh barisan pemainnya selain kemahuan serta kesungguhan untuk memastikan mereka tidak tewas pada aksi hari ini membawa Malaysia ke pentas akhir.

“Alhamdulillah selepas 8 tahun tidak beraksi di final Piala Asia, kami berjaya melepasi halangan Ini. Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bertungkus lumus untuk merealisasikan impian dan harapan pasukan juga peminat hoki Malaysia.

“Setiap perancangan yang kami atur sebelum perlawanan, dilunaskan dengan baik oleh semua pemain. InsyaAllah kami akan terus fokus untuk perlawanan akhir esok dan cuba mencipta sejarah baru buat sukan Hoki Dalam Dewan di Malaysia dengan membawa pulang trofi kejuaraaan.

“Untuk aksi menentang Iran esok, ia adalah siri ulangan kekalahan tempoh hari. Saya akan mengkaji semula kesilapan yang kami lakukan dan memastikan pemain mengambil setiap peluang yang ada untuk merakam kemenangan,” jelas beliau.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas akhir Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia adalah pada tahun 2014, Changhua, Taiwan, dan Malaysia tewas 1-5 kepada Iran pada pertemuan tersebut.

Esok pentas final akan sekali lagi menemukan Malaysia dengan Iran dan aksi tersebut akan berlangsung pada jam 6:00 petang, waktu Malaysia.