Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Negara Bawa Pulang Pingat Gangsa

Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Negara Bawa Pulang Pingat Gangsa

Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara berjaya untuk memastikan mereka pulang ke tanah air dengan pingat gangsa apabila menewaskan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand, hari ini.

Kejayaan Skuad Wanita Negara ini sekaligus menyaksikan mereka mencipta rekod yang lebih baik berbanding 2019 di mana ketika itu mereka menamatkan kejohanan di kedudukan keempat keseluruhan.

Lebih manis kejayaan hari ini apabila Kapten Pasukan, Juliani Mohamad Din diangkat selaku pemain terbaik bagi pertemuan tersebut.

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Malaysia memiliki peluang untuk terlebih dahulu meledak gol pada suku pertama menerusi gerakan padang dan kelebihan pukulan sudut penalti, namun peluang-peluang tersebut dinafikan oleh penjaga gol Kazakhstan, Guzal Bakhavaddin.

Suku kedua menyaksikan Malaysia terus menggandakan asakan dan hasilnya kem negara dihadiahkan dengan penalti stroke pada minit ke-15 dan Iren Hussin yang menggalas tugas mengambil pukulan tersebut meletakkan Malaysia di hadapan 1-0 menuju rehat separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Kazakhstan dilihat lebih banyak mengatur serangan untuk cuba mengimbangi kedudukan selain turut memiliki beberapa kelebihan pukulan sudut penalti, namun pemain negara dan penjaga gol, Farah Ayuni Yahya menidakkan percubaan mereka dalam suku ketiga.

Seminit sebelum aksi sebenar perlawanan berakhir, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan penalti stroke dan kali ini giliran Nur Aisyah Yaacob untuk memastikan Malaysia pulang selaku pemenang pingat gangsa apabila menyempurnakan kelebihan tersebut.