Sejarah tercipta apabila buat kali pertama Malaysia merangkul pingat emas, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) selepas menewaskan juara bertahan Iran 3-2 dalam penentuan shoot-out, di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand, hari ini.
Jaringan Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius ketika detik genting penentuan shoot-out selain kewibawaan penjaga gol negara, Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman menafikan salah satu percubaan Iran menjulang Malaysia selaku juara.
Empat gol yang dijaringkan Muhammad Ashran Hamsani (2 gol), Shello Silverius, dan Mohd Norhafizie Jamil Azomi dalam perlawanan sebenar yang berlangsung selama 40 minit, menyaksikan Malaysia di ranking ke-21 dunia, dan Iran yang berada di ranking ketiga dunia terikat 4-4, sekaligus membawa perlawanan hingga ke penentuan shoot-out bagi mencari pemenang.
Lebih manis untuk Skuad Kebangsaan apabila perlawanan akhir bertemu Iran hari ini menyaksikan Norsyafiq Sumantri diangkat selaku pemain terbaik perlawanan tersebut.
Terdahulu dalam perlawanan hari ini, Malaysia dikejutkan dengan gol awal Iran menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketiga yang disudahkan oleh Mohsen Bohlouli sebelum Muhammad Ashran Hamsani mengikat kembali kedudukan pada minit ke-12 menerusi gerakan padang.
Minit ke-16, giliran Shello Silverius meletakkan Malaysia dihadapan sebelum Iran kembali menyamakan kedudukan hasil gol padang Amirmahdi Mirzakhani untuk aksi separuh masa pertama ditutup dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Enam minit memasuki suku ketiga, Mohd Norhafizie Jamil Azomi menjaringkan gol pertamanya sepanjang kejohanan di pentas final yang juga meletakkan Malaysia kembali di hadapan dan Iran sekali lagi mengejar kedudukan tersebut menerusi gol padang Mohammad Karimi pada minit ke-32.
Minit ke-36 giliran Muhammad Ashran Hamsani sekali lagi meletakkan Malaysia di hadapan dan gol pukulan sudut penalti Hamid Nooranian pada minti ke-38 membawa perlawanan hingga ke penentuan shoot-out.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, Muhamad Amin Rahim bersyukur di atas kejayaan dan sejarah baru yang berjaya dicipta oleh anak-anak buahnya dan berharap perhatian lebih akan diberikan kepada Sukan Hoki Dalam Dewan yang disifatkannya mempunyai potensi besar.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan pasukan kami mencipta sejarah baru bagi sukan hoki di Malaysia walaupun ianya sukan Hoki Dalam Dewan.
“Kesungguhan pemain bermain dengan bermati-matian untuk mencapai matlamat pasukan harus diberikan pujian. Setiap seorang pemain telah memberikan persembahan terbaik meraka.
“Inilah hasil usaha keras mereka dan bukan mudah untuk tempoh masa lapan hari, pemain perlu beraksi dalam tujuh perlawanan dan mereka telah memberikan yang terbaik.
“Ini adalah sejarah baru dan saya berharap Sukan Hoki Dalam Dewan ini akan terus diberikan perhatian kerana Malaysia mempunyai potensi besar untuk beraksi diperingkat lebih tinggi, iaitu peringkat Piala Dunia,” jelasnya ketika dihubungi.









