Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan Jalani Siri Jelajah Perth Australia

Sebagai persediaan bagi menghadapi Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur, yang akan berlangsung pada Disember tahun ini, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan kini telah memulakan persiapan awal dengan menjalani siri Jelajah Australia yang berlangsung daripada 17 hingga 31 Januari 2023 di Perth Australia. Siri jelajah yang diatur ini adalah sebagai pendedahan buat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan bagi mendapatkan perlawanan yang berintensiti tinggi menentang pasukan Kelab di Australia iaitu Western Australian Institute of Sport (WAIS) B-21 dan seramai 20 pemain dibawa mengikuti siri jelajah ini. Sebanyak enam perlawanan telah diatur dan daripada 20 pemain yang disenaraikan, dua daripadanya merupakan penjaga gol, enam pemain pertahanan, enam pemain di bahagian tengah sementara enam lagi merupakan penyerang dan lingkungan usia pemain adalah 17 hingga 21 tahun. Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Muhamad Amin Rahim akan berlepas ke Perth, esok (Rabu – 17 Januari) jam 5.50 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Jelas Amin Rahim, apa yang beliau mahukan daripada siri jelajah ini adalah anak-anak buahnya mengutip pengalaman sebanyak mungkin dan menjadikan pendedahan yang diberikan ini sebagai salah satu medan pembelajaran untuk menjadikan mereka pemain yang lebih baik. “Selepas sesi pemilihan pemain diadakan baru-baru ini, Siri Jelajah Perth merupakan langkah pertama bagi mempersiapkan pasukan ini menuju ke misi utama pasukan iaitu mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung pada hujung tahun ini. “Beberapa siri jelajah lain juga sedang diatur dan bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh pasukan seperti Piala Asia Remaja yang masih belum dimuktamatkan lagi tarikh dan venue kejohanan, Sukan SEA Kemboja dan Piala Sultan Johor 2023 sebelum menuju ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur. “Saya berharap setiap pemain yang diberikan kepercayaan bersama pasukan ini akan mengambil peluang tersebut dengan sebaiknya. Mereka perlu buktikan mengapa mereka harus terus kekal berada di dalam pasukan sehingga kejohanan Piala Dunia 2023. Sebagai tuan rumah, kami akan bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi kejohanan tersebut,” jelas Amin Rahim. Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Lelaki Keabngsaan yang mengikuti Siri Jelajah Perth Australia pada 17 hingga 31 Januari 2023.
NO NAMA POSISI
1 Mohamad Rafaizul Mohamad Saini PENJAGA GOL
2 Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal PENJAGA GOL
3 Mohd Fauzan Shah Mohd Nizam PERTAHANAN
4 Azmilmuizzuddin Misron PERTAHANAN
5 Perabu Tangaraja PERTAHANAN
6 Muhammad Faris Harizan PERTAHANAN
7 Muhammad Alief Adha Akhbar PERTAHANAN
8 Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib PERTAHANAN
9 Mughni Mohamad Kamal TENGAH
10 Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar TENGAH
11 Muhammad Khairul Norizam TENGAH
12 Alfarico Lance Liau Jr TENGAH
13 Muhammad Addy Jazmi Jamlus TENGAH
14 Muhammad Handzalah Abdul Hadi TENGAH
15 Mohamad Shamir Rizmi Shamsul PENYERANG
16 Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini PENYERANG
17 Mohammad Harris Iskandar Osman PENYERANG
18 Muhammad Amirul Haniff Mamat PENYERANG
19 Che Nur Aqirullah Che Mohd Khaurulzi Anwar PENYERANG
20 Muhammad Hazreeq Alief Rosli PENYERANG
  Berikut merupakan jadual perlawanan persahabatan yang telah diatur :
NO HARI TARIKH PERLAWANAN MASA VENUE
1. SABTU 21 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
2. AHAD 22 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
3. SELASA 24 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
4. JUMAAT 27 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
5. AHAD 29 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
6. ISNIN 30 JAN 2023 MALAYSIA v U-21 WAIS 6:30 PETANG Stadium Hoki Universiti Curtin
** Masa perlawanan adalah Waktu Malaysia