Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja bagi acara Hoki Dalam Dewan membuka tirai hari ini dengan Pasukan Wanita Negara yang turun bertemu Singapura tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan mereka itu, 8-0.

Aksi yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar itu menyaksikan Skuad Wanita Negara berada selesa 6-0 dihadapan pada separuh masa pertama sebelum menambah dua gol pada separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata pertama berjaya diraih.

Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita Negara, Mohd Badrul Hisham Osman menzahirkan rasa syukur dengan tiga mata yang diraih oleh pasukannya hari ini namun menyifatkan beberapa kesilapan yang dilakukan pemain pada perlawanan pertama perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

“Pembukaan yang baik untuk pasukan dan tiga mata yang diraih adalah sangat penting untuk pasukan. Pemain telah bermain dengan baik dan mengikut setiap perancangan yang telah disusun sebelum perlawanan bermula dan saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih hari ini.

“Kami kurang menjaringkan gol pada separuh masa kedua jika dibandingkan dengan separuh masa pertama. Ini kerana lawan, Singapura lebih menerapkan corak permainan secara bertahan kerana mahu mengurangkan jumlah bolos. Bagaimanapun pemain tetap meneruskan permainan yang terbaik.

“Bagi aksi kedua bertemu Filipina esok, kami akan mengekalkan corak permainan yang telah diterapkan hari ini selain memperkemaskan lagi beberapa kesilapan kecil yang dikenalpasti.

“Saya amat berharap pemain tidak akan melepaskan setiap peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol kerana jumlah jaringan gol dalam setiap perlawanan amat penting,” jelas beliau.

Pada aksi pembukaan hari ini, Nuraslinda Said muncul penjaring gol tebanyak untuk pasukan negara apabila menjaringkan empat gol, tiga pukulan sudut penalti pada minit kelapan, minit ke-11 dan minit ke-18 serta satu gol padang pada minit ke-19.

Sementara itu Fazilla Sylvester Silin menyumbang dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan ke-34 selain dua gol lagi masing-masing disumbangkan oleh gol padang Raja Norsharina Raja Shahbuddin seawal minit ketiga dan gol pukulan stroke oleh Iren Hussin minit ke-26.

Esok, Pasukan Wanita Negara akan turun untuk aksi kedua bertemu Filipina pada jam 12:45 tengah hari (waktu Malaysia) untuk aksi kedua pusingan round robin.