Malaysia Tutup Pusingan Round Robin Dengan Rekod Tanpa Kalah

Kemenangan 4-2 yang diraih oleh Skuad Sukan SEA Lelaki Kebangsaan ke atas Indonesia ketika turun pada perlawanan terakhir pusingan round robin, acara Hoki Padang Lelaki, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, hari ini, menyaksikan Pasukan Negara menutup pusingan tersebut dengan rekod bersih tanpa kalah mahupun seri. Pentas final akan menemukan Malaysia dengan Singapura selepas Singapura berjaya menewaskan Thailand 6-1 pada aksi terakhir pusingan round robin dan kelebihan gol yang dimiliki mereka membawa mereka ke final walaupun berkongsi 7 mata di kedudukan kedua dengan Indonesia. Penjaring gol pembukaan hari ini, Shahmie Irfan Suhaimi kini berada di tangga teratas dalam senarai penjaring gol terbanyak kejohanan dengan lima gol selain dua lagi pemain negara, yang juga penyumbang gol hari ini, Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar berada di tangga kedua dengan masing-masing telah menjaringkan empat gol. Aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia dipaksa untuk menunggu sehingga minit ke-28 sebelum dua gol berturut-turut berjaya dijaringkan tidak sampai seminit bermula dengan jairngan gol Shahmie Irfan Suhaimi dan diikuti Muhammad Najib Abu Hassan untuk Malaysia memimpin perlawanan dengan kelebihan dua gol. Bersambung suku ketiga, giliran Mohammad Harris Iskandar Osman mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-36 selepas situasi kelam kabut yang berlaku di dalam kawasan gol lawan berjaya dimanfaatkan beliau untuk Malaysia terus selesa di hadapan. Minit ke-43, kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Indonesia di dalam kawasan “D” mereka menghadiahkan Malaysia dengan penalti stroke dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar yang menggalas tugas mengambil pukulan tersebut mudah untuk menewaskan penjaga gol Indonesia. Dua minit sebelum aksi suku ketiga tamat, Indonesia berjaya mencuri dua gol hasil jaringan Derangga Raditya menerusi kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan gol padang seminit kemudian untuk kedudukan berubah 4-2. Suku terakhir, Malaysia mempunyai peluang untuk menambah satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti namun “set-piece” yang dirancang dapat diselamatkan oleh pihak lawan dan kedudukan 4-2 kekal hingga akhir perlawanan. Disebalik kemenangan yang diraih hari ini, Ketua Jurulatih Pasukan Sukan SEA Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim tidak berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang disifatkan beliau kurang memberangsangkan. “Alhamdulillah atas kemenangan 4-2 hari ini, namun pemain banyak melakukan kesilapan mudah hingga membenarkan lawan menjaringkan dua gol. Bagaimanapun, keluar dengan kemenangan dan kekal rekod bersih tanpa kalah, ianya harus diberi pujian. “Pada saya pemain perlu kekal fokus untuk 60 minit, tetapi itu tidak berlaku pada suku ketiga hingga membenarkan lawan menjaringkan dua gol mudah. Pemain juga perlu menerapkan sikap tidak ambil mudah pada setiap perlawanan yang dihadapi kerana ia akan memberi keyakinan kepada pihak lawan bahawa mereka ada peluang untuk bermain atau memberikan tentangan kepada kami. “Kami akan menggunakan rehat esok dengan baik dan melakukan analisa bagaimana untuk bermain dengan baik serta kembalikan keyakinan pasukan. Singapura antara pasukan yang berpengalaman dan sering beraksi di pentas final bersama Malaysia, pastinya kemenangan mereka ke atas Thailand hari ini membuktikan mereka antara pasukan yang mempunyai kualiti untuk beraksi di final. "Jadi kami perlu lebih fokus dan tingkatkan disiplin pasukan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di atas padang serta tidak memberikan ruang untuk lawan menguasai permainan. Kami akan keluar bermain bermati-matian dan saya yakin sekiranya kami kekal fokus dan mengikut perancangan yang diatur dengan sebaiknya, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh pulang ke Malaysia dengan kalungan pingat emas," jelas beliau. Esok, Skuad Lelaki Kebangsaan akan berehat sebelum turun beraksi di pentas final pada Selasa (16 Mei) jam 2:45 petang (waktu Malaysia).