CHILE kini bagai tidak sabar mahu bertembung dengan tuan rumah, Malaysia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Remaja Hoki di Stadium Nasional Hoki di Bukit Jalil pada 5 Disember ini.
Sifat ghairah itu terpancar pada wajah ketua pasukan, Joaquin Munoz, mengerti perlawanan pembukaan Kumpulan A ini amat penting bagi survival kedua-dua pasukan.
Dua lagi pasukan yang diundi dalam kumpulan sama adalah juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia.

“Pasukan Malaysia memang bagus. Mereka juga tuan rumah kali ini dan sudah pasti akan main habis-habisan untuk tidak mahu menghampakan penyokong yang akan memenuhi stadium nanti.
“Saya dan rakan sepasukan ghairah apabila memikirkan pertembungan ini. Kami juga mahu membuat kejutan.
“Apa yang pasti, kami mahu mencari kemenangan kerana baki dua perlawanan menentang Australia dan Argentina lebih mencabar,” kata pemain bek tengah pasukan berusia 20 tahun itu.
Munoz yang berasal dari Santiago menyuarakan perasaan itu selepas pasukannya seri 1-1 ketika menentang juara Piala Razak, Kuala Lumpur dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Ahad (26 November).

Kapten tinggi lampai itu sebenarnya dilahirkan di Amerika Syarikat dan menurutnya, sebulan selepas dilahirkan, ibu bapa membawanya pulang ke Chile. Dia juga fasih berbahasa Inggeris.
Chile layak ke JWC selepas mendapat pingat gangsa di Kejohanan Hoki Remaja Pan America di Barbados, April lalu.
Gergasi Amerika Latin, Argentina muncul juara selepas menewaskan Kanada 6-1 dalam final. Tiga pasukan teratas layak ke JWC 2023 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ketua jurulatih Chile, Matias Amoroso berpendapat pasukan dibimbingnya ada segala ramuan untuk mencabar lawan lain dalam Kumpulan A dan tidak mahu mudah menyerah kalah.
Skuad dari Amerika Latin itu juga ada khidmat tujuh pemain yang pernah beraksi pada JWC 2021 di Bhubaneswar, India.
Dia juga berkata skuad dibentuk kali ini adalah barisan muda dengan purata usia 18 tahun. Ada di antara mereka masih boleh beraksi untuk Piala Dunia Remaja berikut.
“Saya kagum melihat perwatakan dalam pasukan kami kali ini. Mereka sudah bersedia dan mahu memberi yang terbaik sepanjang kejohanan ini.
“Apa pun, fokus utama kami adalah pada perlawanan pertama menentang Malaysia (5 Disember). Ia cukup penting.
“Pasukan tuan rumah memiliki corak serangan pantas dan ada keupayaan untuk meluru pantas ke arah gawang lawan.

“Mereka juga ada sokongan padu penyokong. Kami kena waspada setiap saat perlawanan nanti,” katanya.
Dia tersenyum apabila diberitahu pada edisi 2021 di India, bila Chile menentang Malaysia dalam perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia menang 2-1.
“Undian temukan kita jumpa lagi. Baguslah,” katanya.
Di Bhubaneswar, Malaysia menamatkan cabaran menghuni tempat kelapan manakala Chile di tempat ke-14 daripada jumlah 16 pasukan.
Chile adalah antara pasukan terawal tiba di Malaysia bagi menyahut cabaran pada edisi ke-13 kali ini.
Perjalanan Chile ke Kuala Lumpur juga memenatkan menurut Amoroso apabila mereka mengambil masa dua hari untuk sampai ke destinasi.
“Memang memenatkan. Kami berlepas dari Chile ke Sao Paulo dan kemudian ke Doha sebelum samapi ke Kuala Lumpur,” katanya.









