DUA penyerang utama – Shahmie Irfan Suhaimi dan Shamir Rizmi Shamsul mengerti betapa penting tugasan mereka dalam kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) kali ini.
Selasa ini, skuad Young Tigers akan menentang Chile dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A dan kedua-dua penggempur ini bertekad mencari ilham untuk meledakkan gol membantu pasukan tuan rumah.
Mereka tidak menafikan perlawanan pertama lazimnya sukar bagi mana-mana pasukan dalam kejohanan besar seperti ini. Tetapi selaku penyerang, mereka akur itulah tugasan yang harus digalas dengan baik demi negara.
Shahmie, 21, boleh dilihat sebagai prospek besar untuk menggegar jaring lawan berdasarkan pengalamannya dalam pasukan.
Tambah menarik, dia adalah pemain tunggal daripada pasukan remaja ini yang mewakili skuad senior kebangsaan dalam kancah Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India pada Januari lalu.
Dia turut membutkikan nilainya apabila memberi sumbangan bermakna menjaringkan satu gol masing-masing ketika menentang Jepun dan Sepanyol dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16.

“Dua gol ini memberi inspirasi kepada saya. Memang saya seronok selepas menjaringkan dua gol itu.
“Harap, rentak sama dapat disambung apabila menentang Chile nanti,” kata Shamie yang juga anak kepada bekas penyerang negara, Suhaimi Ibrahim.
Nada pertuturan rakannya, Shamir juga sama.
Menarik apabila pemain dari Seri Kembangan, Selangor ini membuat satu kenyataan ringkas. “Saya adalah penyerang dan tugas saya adalah untuk menjaringkan gol”.

Mungkin Shamir mendapat inspirasi daripada ucapan oleh pemain legenda negara, Datuk Poon Fook Loke selepas perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan tempoh hari.
Pada malam berkenaan, Fook Loke memberitahu barisan penyerang tidak boleh mensia-siakan peluang jaringan mudah.
“Jika anda tak jaring gol anda tidak boleh menang,” kata legenda itu sebagai menyemarakkan semangat pasukan.
Shamir tidak menyembunyikan niatnya itu dalam JWC dan bertekad untuk mencuri peluang meledak gol untuk pasukan.
“Saya mendapat sokongan baik daripada rakan sepasukan lain dan akan cuba memberi sesuatu yang positif untuk skuad negara,” katanya.
Shamie Irfan pula berkata mereka akan turun ke gelanggang bukan saja untuk menang tapi menjaga maruah pasukan negara beraksi di pentas kejohanan besar dunia di laman sendiri.









