Walaupun diletakkan dalam kumpulan sukar, namun pasukan muda B-18 Hoki Wanita negara sedia untuk memberi cabaran kepada lawan mereka di Kejohanan Piala Asia Wanita B-18 yang bakal berlangsung dari 16 hingga 22 Disember ini di Bangkok, Thailand.
Mereka sudahpun bertolak ke sana bagi menghadapi kejohanan untuk edisi keempat kejohanan itu. Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu China, India dan Chinese Taipei. Manakala, empat lagi pasukan dalam Kumpulan B pula adalah Korea, Jepun, Thailand dan Singapura.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu China pada 16 Disember ini, diikuti pertemuan menentang Chinese Taipei pada 17 Disember dan akan melawan pasukan India pada 18 Disember nanti.
Edisi pertama kejohanan ini dilangsungkan di Hong Kong pada tahun 2001. Pada kejohanan sulung itu, India menjadi juara sementara Jepun muncul sebagai naib juara kejohanan.
Kejohanan untuk edisi kedua Piala Asia B-18 Wanita diadakan pada tahun 2009 di Shanghai, China. Korea unggul untuk menjadi johan bagi kejohanan pada edisi tersebut manakala China di tempat kedua, Jepun ketiga dan keempat adalah pasukan India.
Selang dua tahun selepas itu, iaitu pada 2011 edisi ketiga kejohanan ini dilangsungkan di Bangkok, Thailand. 10 pasukan mengambil bahagian termasuk pasukan Malaysia yang menduduki tempat kelima dalam edisi ketiga itu. Juara bagi edisi itu adalah Jepun, diikuti China di tempat kedua, dan pasukan India di kedudukan ketiga.
Bagi saingan keempat kali ini, lapan pasukan akan mengambil bahagian. Kejohanan ini adalah satu persediaan yang baik untuk pasukan muda negara yang bakal merebut tempat ke Sukan Olimpik 2020 nanti.









