Jepun Bawa Misi Besar

Selepas menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi lalu di kedudukan keempat, Jepun datang dengan misi lebih besar iaitu bergelar juara.

Menyedari misi itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan tetapi ia juga tidaklah mustahil untuk dilakukan mereka.

Perkara itu ditegaskan pengurus pasukan, Takayasu Mizawa berkata pasukan berkenaan kembali dibentuk selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan dikedudukan ke-11 di temasya terbesar dunia tersebut.

Jelasnya, pasukan kali ini dibarisi 12 pemain yang beraksi di kelayakan Sukan Olimpik Paris di Valencia Januari lalu manakala lima pemain bakal membuat penampilan pertama bersama pasukan tersebut.

“Ini adalah pasukan baharu yang dibentuk dengan gabungan pemain berpengalaman dan muda. Lebih kurang 12 pemain yang beraksi di kelayakan Olimpik Valencia berada dalam pasukan dan lima lagi (pemain berusia 18-20 tahun) akan membuat penampilan kali pertama bersama skuad senior.

“Sasaran kami menjadi nombor satu di kejohanan ini tetapi saya sedar tidak mudah untuk mencapainya,” katanya.

Untuk rekod, pada penentuan tempat ketiga dan keempat edisi ke-29 PSAS, Jepun terpaksa akur dengan kekalahan 5-3 ditangan Pakistan.

Pasukan kali ini dibarisi empat pemain senior iaitu Manabu Yamashita,35, menjadi pemain paling banyak membuat penampilan bersama Jepun dengan mengumpul 217 kaps.

Tiga lagi pemain senior yang berada dalam pasukan kali ini adalah Shota Yamada yang mengumpul 145 kaps, Seren Tanaka (158) dan Takashi Yoshikawa (145).

Sementara itu, pada aksi persahabatan Jepun berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kanada.