Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan menganjurkan kembali Kejohanan Hoki B16 Kebangsaan Lelaki dan Perempuan, pada 15 hingga 25 Jun 2022, selepas dua tahun kejohanan tersebut tidak dapat dianjurkan ekoran penularan wabak Covid-19.
Kejohanan yang bakal berlangsung secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu telah menerima penyertaan daripada ke semua 14 buah negeri sekaligus menyaksikan 28 pasukan (14 pasukan lelaki dan 14 pasukan perempuan) akan merebut gelaran juara bagi kategori lelaki dan perempuan musim 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh menjelaskan KHM telah mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menganjurkan kejohanan yang melibatkan penyertaan daripada murid sekolah itu.
“Untuk kejohanan tahun ini, KHM akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan pasukan yang bertanding. Ini termasuk penginapan, kenderaan ke venue perlawanan dan juga makan serta minum.
“Kejohanan ini juga merupakan platform untuk negeri-negeri mencungkil bakat-bakat baru yang mungkin akan mewakili Malaysia satu hari nanti.
“Format kejohanan dan jadual perlawanan masih belum diputuskan dan jawatankuasa pertandingan sedang merangka jadual perlawanan berdasarkan jumlah pasukan yang mengambil bahagian. Kami akan mengumumkan format kejohanan serta jadual perlawanan dalam masa terdekat.
“Kejohanan ini akan berlangsung bukan dalam minggu cuti sekolah kerana tarikh ketika cuti sekolah telah diisi dengan kejohanan di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).
“Namun apa yang penting untuk kami, kebenaran yang telah diterima daripada KPM untuk kejohanan dilangsungkan tidak akan menjadi masalah sama ada kejohanan berlangsung pada minggu cuti persekolahan atau tidak,” jelas beliau dalam sidang media yang berlangsung hari ini.
Untuk rekod, penganjuran kali terakhir pada tahun 2019 di Kuantan, Pahang menyaksikan kategori lelaki dimenangi oleh pasukan Perak sementara kategori perempuan dimenangi oleh pasukan Pulau Pinang.









