Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Juara Kumpulan B, Tepati Ramalan Ke Separuh Akhir

Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Skuad Wanita Juara Kumpulan B, Tepati Ramalan Ke Separuh Akhir

Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara muncul selaku Juara Kumpulan B selepas tidak berdepan masalah menewaskan lawan terakhir peringkat kumpulan, Singapura 6-0 pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand.

Kejayaan hari ini juga menyaksikan mereka mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan dengan membawa rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan selain turut menepati sasaran awal yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk skuad negara melangkah ke separuh akhir.

Pada perlawanan hari ini, Nuraini Abdul Rashid yang menjaringkan dua gol gerakan padang telah dipilih selaku pemain terbaik pertemuan dengan Singapura dan selepas berakhirnya pusingan peringkat kumpulan, Nuraini telah menyumbang enam gol keseluruhan untuk Malaysia.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd, Rodhanizam Mat Radzi, berbangga dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh anak-anak buahnya yang memberikan aksi sehabis baik pada perlawanan terakhir bagi melengkapkan jadual.

“Saya berbangga dengan pemain saya kerana mereka telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini dan pemain bermain dengan baik sebagai satu pasukan.

“Walaupun perlawanan dengan Singapura adalah untuk melengkapkan jadual, kami mengambil serius perlawanan ini dan turut menggunakannya bagi mempersiapkan diri menjelang perlawanan separuh akhir.

“Banyak kesilapan-kesilapan mudah dilakukan oleh pemain, namun mereka berjaya memperbaikinya di dalam perlawanan dengan baik. Secara keseluruhan setakat ini, pemain bermain dengan cemerlang dengan mengikut setiap perancangan.

“Esok adalah hari yang cukup penting buat pasukan. Kami akan melakukan persiapan mulai hari ini untuk menentang sama ada pasukan Kazakhstan mahupun Indonesia dalam separuh akhir esok.

“Saya percaya pemain-pemain akan melakukan yang terbaik untuk aksi separuh akhir esok dan doa serta sokongan rakyat Malaysia amat kami perlukan dan kami hargai,” jelasnya ketika dihubungi selepas perlawanan.

Gol pertama Malaysia hadir pada minit ke-19 selepas Fazilla Sylvester Silin berjaya menembusi gawang lawan untuk skuad negara selesa mendahului 1-0 menuju rehat separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, dua gol berturut-turut dalam minit ke-24 berjaya dihasilkan oleh kem negara bermula gol padang Nuraini Abdul Rashid dan diikuti dengan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi.

Seminit sebelum tamat aksi suku ketiga, Nuraini sekali lagi mencatat nama selaku penjaring menerusi gol gerakan padang dan Malaysia selesa 4-0 di hadapan Singapura.

Suku terakhir perlawanan, Iren Hussin terus menggandakan jaringan untuk Malaysia pada minit ke-33 sebelum seminit kemudian, Qasidah Najwa Muhammad Halimi melengkapkan gol kemenangan Malaysia.

Aksi separuh akhir akan berlangsung esok jam 6:00 petang waktu Malaysia namun skuad negara perlu menunggu sehingga tamat keseluruhan perlawanan hari ini untuk mengetahui siapakah lawan mereka di pusingan separuh akhir antara Indonesia atau Kazakhstan.