JAGOAN Asia, Korea Selatan sentiasa memberikan persembahan terbaik setiap kali melangkah ke pentas kejohanan besar berbekal semangat perjuangan tinggi.
Perwatakan itu akan kekal sama apabila mereka hadir menyahut cabaran pada edisi ke-13 Piala Dunia Remaja (JWC) yang bermula di Kuala Lumpur, Selasa ini.
Bekas juara remaja benua itu bersuara yakin apabila menyebut misi mereka adalah untuk layak ke saingan suku akhir.
Ketua jurulatih, Jang Young berkata, selepas lima bulan menjalani latihan pusat, pemain memberi gambaran mereka memiliki ramuan untuk tampil mencabar lawan elit yang lain.
“Ya, sasaran kami adalah untuk mara ke suku akhir. Kami membawa barisan terbaik yang mampu mencari kedudukan dalam kelompok lapan teratas kali ini.

“Kami menjalani latihan fasa terakhir 10 hari sebelum ke kejohanan ini. Semua anak buah saya melalui satu latihan yang cukup padu dan bersedia untuk memenuhi sasaran kali ini,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam(Sabtu).
Pencapaian terbaik pasukan itu dalam JWC adalah apabila mara ke separuh akhir edisi 1989 di Ipoh.
Korea Selatan, yang kebanyakan pemain adalah pelajar universiti diundi dalam Kumpulan C bersama bekas juara, India, Sepanyol dan Kanada.
Pasukan ranking ke-11 remaja dunia itu akan membuka tirai perlawanan menentang India pada Selasa ini dan pengendali pasukan itu menyifatkan pertemuan ini amat mencabar.
“Susah, memang susah apabila menentang India. Tapi kami akan cuba memberi yang terbaik untuk mendapatkan keputusan terpuji,” kata Young selepas sidang media.

Skuad ini menempah tiket ke edisi 2023 di Kuala Lumpur selepas memenangi pingat gangsa dalam Piala Remaja Asia di Salalah, Oman, Jun lalu.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga mereka menewaskan Malaysia 2-1. India muncul juara selepas menewaskan Pakistan dalam final.
Antara pemain tumpuan dalam kejohanan kali ini adalah Lim Dohyun selepas meledakkan enam gol di kejohanan kelayakan di Oman, dengan lima daripada menerusi pukulan sudut penalti.
Pasukan ini diketuai oleh Kong Yoonho yang beraksi pada JWC 2021 di Bhupaneswar bersama Lee Sungmin dan Park Geonwoo.









