LHM 2018: Pembangunan Pemain Keutamaan TNB Thunderbolt

Pengendali pasukan TNB Thunderbolt, Muhammad Amin Rahim memandang pembangunan pemain akan menjadi keutamaan pasukannya ketika beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018 Divisyen Premier sambil mahu menyaksikan pemain-pemainnya memberikan persaingan kepada lima lagi pasukan lain yang bertanding. Jelas Amin, TNB Thunderbolt menyedari tentang kelibat pemain kebangsaan dan pemain import yang dimiliki oleh pasukan-pasukan lain dan pasukannya lebih meletakkan sasaran untuk melihat peningkatan daripada satu perlawanan hingga perlawanan akhir. “Saya boleh katakan kini TNB Thunderbolt sudah mengumpulkan semua pemain dan menjalani latihan bersama. Bercakap mengenai lima pasukan yang beraksi di LHM divisyen Premier saya menyedari tentang penampilan pemain kebangsaan dan pemain import yang cukup berkualiti dimiliki oleh mereka. “Namun bagi pasukan Thunderbolt kami memberikan tumpuan kepada pembangunan pemain dan kami akan bersikap lebih realistik untuk menghadapi saingan 2018. “Saya sendiri meletakkan sasaran untuk memastikan setiap pemain akan berjaya untuk memperbaiki serta mempertingkatkan mutu permainan mereka secara perseorangan dan sebagai pasukan kami ingin melihat peningkatan pada setiap perlawanan. “Pemain-pemain yang mewakili Thunderbolt juga merupakan pemain-pemain yang pernah beraksi di peringkat senior dan bermain liga premier pada tahun lalu dan saya berharap pasukan akan memberikan cabaran yang terbaik kepada pasukan-pasukan lain di LHM divisyen Premier,” ujar Amin ketika dihubungi. Dalam pada itu, TNB Thunderbolt yang kini dalam persiapan menuju ke LHM 2018 telah menjalani perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) semalam dan akan bertemu UniKL pada satu lagi perlawanan persahabatan malam ini. “Semalam kami telah menjalani perlawanan persahabatan dengan KLHC di mana kami tewas 5-2, tetapi saya telah melihat keserasian pemain dan saya berharap momentum tersebut akan berterusan hingga perlawanan pembukaan Piala Tan Sri P. Alagendra pada 3 Januari nanti dan malam ini kami akan menjalani satu lagi perlawanan persahabatan bertemu UniKL,” jelas Amin.