Lima Pemain Remaja Dapat Kepercayaan Sarjit, Sertai Speedy Tigers

Lima pemain remaja negara berjaya memikat Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh untuk diserapkan dalam pasukan Speedy Tigers.

 

Pemain berkenaan adalah Andywalfian Jeffrynus yang berusia 19 tahun dan beraksi di posisi pertahanan, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (19, tengah), Mohammad Haris Iskandar Osman (21, penyerang) dan dua penjaga gol yang berusia 22 tahun iaitu Mohamad Rafaizul Mohamad Saini serta Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal.

 

Speedy Tigers yang bakal mengharungi Jelajah Australia di Perth pada 20 April hingga 2 Mei ini akan memulakan kem latihan pertama tahun ini pada 3 Mac ini, sebelah malam sempena Ramadan.

 

Jelas Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Sarjit Singh, pasukan seterusnya akan beraksi dalam Piala Negara-Negara dari 15 hingga 21 Jun sebelum menjalani latihan selama enam hingga lapan minggu sebagai persiapan untuk ke Piala Asia di India.

 

“Kami akan bermain dua perlawanan menentang Western Australia diikuti empat perlawanan menentang Australia di Perth. Semua perlawanan ini adalah aksi persahabatan yang dijadualkan dari 20 April hingga 2 Mei.

 

“Untuk Piala Negara-Negara, kami perlu berada dalam kelompok empat terbaik kerana itu sangat penting bagi kami. Kalau ikut ranking, kumpulan kami dijangkakan terdiri daripada Perancis, Malaysia, Korea dan Wales manakala kumpulan satu lagi membabitkan New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan dan Jepun,” katanya.

 

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan turut menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November dan Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

 

Sementara itu, Sarjit turut mengakui ketiadaan penyerang prolifik negara, Faizal Saari menjadi kehilangan besar dalam pasukan namun pada masa yang sama menggesa agar pemain muda merebut peluang untuk mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan.

 

Jelasnya, sebaik sahaja skuad negara menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ATC) di Hulunbuir, China pada tahun lalu, Faizal sudah menyatakan hasratnya untuk bersara.

 

“Sebenarnya dia sudah membuat keputusan (bersara) pada tahun lalu tapi dia masih bermain tahun lalu dan selepas pulang dari China dia berkata dia mahu berehat.

 

“Namun, akhirnya dia memberitahu dia akan membuat keputusan dan selepas LHM (Liga Hoki Malaysia) musim ini tamat dia membuat keputusan untuk bersara jadi kita kena bergerak ke hadapan. Dia seorang pemain yang bagus,” kata Sarjit selepas pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak mengumumkan senarai 30 pemain yang dipanggil pada kem kali ini.

 

Faizal, 34, merupakan penjaring terbanyak TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 dengan 23 jaringan mempunyai rekod 302 penampilan bersama Speedy Tigers telah mengumumkan persaraannya pada Sabtu lalu.