Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat perak, Acara Hoki Dalam Dewan, Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, hari ini,

Kedua-dua wakil negara itu akur tewas 1-2 dalam penentuan shoot-out kepada lawan masing-masing selepas Pasukan Lelaki terikat 3-3 dengan Indonesia dalam aksi penuh 40 minit dan Pasukan Wanita terikat tanpa sebarang jaringan dengan Thailand.

Bagaimanapun rekod sepanjang kejohanan berlangsung menyaksikan kedua-dua pasukan kebangsaan kekal dengan rekod tanpa kalah namun terpaksa akur tewas dalam penentuan shoot-out yang tidak memihak kepada kedua-dua pasukan kebangsaan di pentas final.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim mengucapkan terima kasih kepada barisan pemain dan kejurulatihan yang telah memberikan komitmen terbaik daripada bermula latihan hingga ke perlawanan akhir.

“Perlawanan hari ini bukan rezeki kami dan setiap pemain telah bermain dengan amat baik serta cukup disiplin dalam menterjemahkan setiap perancangan yang diatur sehingga kami berjaya menjaringkan tiga gol.

“Tetapi lima minit terakhir perlawanan, kesilapan dan kekurangan dari segi komunikasi menyebabkan berlakunya kelekaan dan kesempatan tersebut digunakan oleh Indonesia sehingga perlawanan diheret ke penentuan shoot-out.

“Pasukan ini menunjukkan satu keharmonian serta semangat juang yang sangat tinggi dan saya berharap kebangkitan akan ditunjukkan dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang selain peluang-peluang untuk kami buktikan kebangkitan pasukan selepas jatuh hari ini.

“Terima Kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kami juga terima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu pasukan daripada pelbagai aspek,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita, Mohd Badrul Hisham Osman memberikan pujian kepada barisan pemainnya yang tidak pernah menyerah kalah sepanjang kejohanan dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tiga minggu persiapan pasukan dijalankan.

“Saya tetap berbangga dengan pemain-pemain saya dan mereka telah memberikan yang terbaik dan sehabis kudrat untuk perlawanan final walaupun rezeki tidak memihak kepada kami hari ini. Walaupun kami memenangi pingat perak, namun pemain layak untuk mendapat pujian.

“Kami telah merancang sehabis baik namun apakan daya dan kami pastinya akan bangkit pada kejohanan yang akan datang.

“Sepanjang kejohanan ini, semua pemain telah memberikan permainan yang terbaik, semangat sepasukan dan semangat juang yang cukup tinggi walaupun kami hanya dapat mempersiapkan pasukan hanya dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Kepada peminat hoki tanah air, ribuan terima kasih yang tidak terhingga daripada kami sepasukan atas sokongan dan doa yang telah diberikan kepada kami. Kepada pihak pengurusan KHM, MSN, ISN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ucapan terima kasih atas semua bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia,” jelasnya.