Malaysia Buka Kempen Dengan Kemenangan Bergaya

Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Chonburi, Thailand yang membuka tirai secara rasmi di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi hari ini menyaksikan Pasukan Wanita Negara yang turun aksi pertama Pool A bertemu Vietnam, membelasah lawannya itu 25-0.

Siti Nur Arfah Mohd Nor mencipta sensasi dalam aksi pembukaan selepas menyumbang enam gol padang diikuti Nur Atira Mohamad Ismail dengan lima gol, Iren Hussin dan Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi masing-masing menyumbang tiga gol sementara Raja Norsharina Raja Shahbuddin, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Juliani Mohamad Din dengan dua gol diikuti Nuraslinda Said serta Fazilla Sylvester Silin, masing-masing dengan satu gol.

Kemenangan yang diraih pada aksi pertama ini pastinya membantu menaikkan semangat pasukan Wanita Negara yang akan turun untuk aksi kedua bertemu Oman pada jam 7:45 petang ini dan perkara tersebut diperakui oleh Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi.

“Satu permainan yang berdisiplin tinggi telah ditunjukkan oleh setiap pemain dan jaringan besar yang pasukan perolehi pada aksi pembukaan ini amat penting terutamanya dalam saingan kumpulan.

“Pemain juga menyedari akan kepentingan meraih gol yang besar dan mereka menggunakan setiap peluang yang dimiliki dengan baik namun terdapat kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan ini tetapi pemain berjaya mengatasi dengan cepat.”

Dalam perlawanan pertama itu, Malaysia menjaringkan 17 gol padang dan 8 gol pukulan sudut penalti dengan enam gol diledak pada suku pertama, enam gol di suku kedua dan enam gol di suku ketiga sementara tujuh gol terhasil pada suku terakhir.

Menjelang perlawanan kedua petang ini, Rodzhanizam Mat Radzi menambah pasukannya akan terus memburu jaringan besar bagi terus memberikan semangat keyakinan yang tinggi kepada pasukan bahawa mereka mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan pasukan.

“Kesilapan-kesilapan yang telah kami lakukan pada perlawanan pertama pastinya akan diperbaiki pada perlawanan kedua dan kami tidak boleh memberikan sebarang peluang kepada pihak lawan selain kami pastinya tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut.

“Di atas kertas, kami memiliki kelebihan bertemu Oman yang merupakan pasukan baru namun pemain tidak boleh memandang mudah cabaran yang akan diberikan lawan. Kami berharap pemain akan memberikan sehabis baik pada perlawanan kedua ini dan kami perlu keluar dengan tiga mata.

“Jumlah jaringan pada pertemuan dengan Oman juga penting jadi kami akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan petang nanti,” tambah beliau.