Aksi kedua Pool A, Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Chonburi, Thailand, yang menemukan Pasukan Wanita Negara dengan Oman berkesudahan dengan pasukan negara terus pamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan lawannya itu 12-1.
Pada perlawanan yang berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi itu, Kapten pasukan, Raja Norsharina Raja Shahbuddin yang menjaringkan hatrik hari ini diangkat selaku pemain terbaik perlawanan selain Siti Nur Arfah Mohd Nor turut mencatat nama selaku penjaring hatrik.
Selepas dua perlawanan, Malaysia kini menghuni kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata keseluruhan selain menjaringkan 37 gol serta bolos satu gol selain Siti Nur Arfah Mohd Nor yang telah menjaringkan sembilan gol keseluruhan berada di kelompok teratas selaku penjaring gol terbanyak.
Walaupun meraih dua kemenangan berturut-turut, Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi masih tidak berpuas hati dengan keseluruhan persembahan yang telah ditampilkan oleh barisan pemainnya pada pertemuan menentang Oman.

“Pemain telah bermain dengan baik dan meraih kemenangan yang cukup penting. Namun kami barisan kejurulatihan masih tidak berpuas hati dengan corak permainan yang telah dipersembahkan dan pemain perlu memperbaiki corak permainan yang kami tetapkan selain bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok.
“Dua kemenangan berturut-turut juga jaringan yang besar merupakan satu keputusan yang cukup positif untuk kami. Tetapi kami melepaskan banyak peluang menjaringkan gol pada perlawanan petang ini. Pemain perlu memperbaiki dari segi jaringan dan juga pukulan sudut penalti. Jaringan adalah penting untuk setiap perlawanan.
“Esok kami akan bertemu dengan Kazakhstan. Satu pasukan yang kuat dan mempunyai pengalaman beraksi di Piala Dunia. Kami akan melihat dan melakukan video analisis untuk meneliti bagaimana corak permainan pasukan Kazakhsatan, supaya kami bersedia untuk perlawanan esok,” ujarnya.
Pasukan Wanita Negara akan turun untuk aksi ketiga esok bertemu Kazakhstan pada jam 12:15 tengah hari sebelum turun pada aksi terakhir kumpulan bertemu Iran pada jam 6:30 petang (waktu Malaysia).









