Skuad hoki wanita negara mengalami kekalahan kedua dan kali ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024, China menewaskan Malaysian Tigress 5-0 pada Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Rajgir, India, hari ini.
Anak-anak buah Nasihin Nubli Ibrahim memulakan aksi dengan permainan lebih tersusun apabila mampu mengekang asakan bertali arus daripada China.
Namun, pintu gol skuad negara akhirnya bocor ketika permainan berbaki tiga minit untuk tamat pada suku pertama hasil jaringan Yu Anhui.
Ketinggalan 0-1, barisan muda Malaysian Tigress berazam untuk tidak membiarkan gawang mereka dibolosi lagi dan usaha itu berhasil apabila keputusan 0-1 berjaya dikekalkan sehingga suku kedua berakhir.
Bagaimanapun, persembahan pasukan negara mula longgar pada suku ketiga apabila mereka membenarkan gol kedua China diledakkan oleh Tan Jinzhuang pada minit ke-46.
Tidak terhenti setakat itu, kealpaan pemain-pemain Malaysia terus dihukum China pada suku keempat apabila mereka menambah tiga gol lagi melalui jaringan Wang Lihang (minit ke-49), Jinzhuang (minit ke-55) dan Hao Guoting (minit ke-57).
Nasihin dalam kenyataannya selepas perlawanan berakhir berkata, beliau berasakan para pemain sudah memberikan yang terbaik menentang pasukan China yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik.
“Kita dapat menahan asakan lawan sehingga suku ketiga permainan, tetapi, suku keempat kita mula melakukan banyak kesilapan ketika mengekang serangan pemain-pemain China.
“Saya lihat pemain-pemain muda kita ada menunjukkan banyak peningkatan cuma saya berasakan kita memerlukan banyak perlawanan antarabangsa yang berkualiti,” katanya.
Menurut Nasihin, anak-anak buahnya terpaksa berdepan tekanan pasukan lawan sehingga membuka ruang China memperoleh pukulan sudut penalti.
Jelas beliau, benteng pertahanan Malaysian Tigress dapat bertindak baik mengekang serangan tersebut, tetapi kehilangan fokus menjadi punca gawang skuad negara terus dibolosi.
Mengulas mengenai aksi seterusnya, Nasihin memberitahu, esok, merupakan hari rehat para pemain selepas mengharungi dua perlawanan besar menentang pasukan gergasi dunia.
“Jadi, esok, kita akan buat sesi pemulihan untuk persediaan perlawanan seterusnya menentang Korea Selatan.
“Pasukan kejurulatihan juga akan membuat video analisis bersama pemain untuk memastikan kita dapat meningkatkan kualiti permainan menjelang perlawanan seterusnya,” tambahnya.
Malaysian Tigress akan berdepan Korea Selatan pada Khamis dan misi meraih kemenangan wajib menjadi buruan anak-anak buah Nasihin bagi mengembalikan motivasi mereka pada kejohanan itu.