Malaysian Tigress Mulakan Kempen Piala Negara-Negara 2 Dengan Langkah Kiri

Skuad Hoki Wanita Kebangsaan memulakan kempen Piala Negara-Negara 2 dengan langkah kiri selepas tewas 2-0 kepada tuan rumah Poland dalam aksi Kumpulan A, di Pusat Sukan Walcz, awal pagi tadi.

 

Pada aksi itu, gawang Malaysian Tigress dibolosi dua kali oleh Sandra Tatarczuk pada suku keempat menerusi pukulan sudut penalti.

 

Malaysia turut memiliki empat pukulan sudut penalti namun tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim berkata secara keseluruhan semua pemain telah bermain dengan baik dan mencipta beberapa peluang yang sepatutnya mampu menghasilkan jaringan.

 

Katanya, beberapa kesilapan perlu diperbaiki segera bagi memastikan perkara sama tidak akan berlaku pada perlawanan seterusnya.

 

“Aksi hari ini menggambarkan pasukan kita bermain dengan baik pada keseluruhan perlawanan. Kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun pertahanan dan penjaga gol lawan berjaya menyelamatkan pintu gol mereka.

 

“Sedikit kecewa pada lima minit terakhir apabila kami telah memberikan mereka peluang untuk menjaringkan gol dan kesilapan itu menyebabkan Poland mengambil peluang mendapatkan gol pada minit terakhir,” kata Nasihin.

 

Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan hari ini yang sebelum itu tewas kepada Uruguay 2-0 dalam aksi pertama mereka dan Nasihin berharap pemain-pemainya memberikan persembahan terbaik serta memanfaatkan peluang dimiliki dengan jaringan.

 

“Sudah tentu Afrika Selatan akan turun habis-habisan dan kita kena belajar daripada kesilapan hari ini dan harap pemain kembali fokus,” katanya.

 

Seterusnya, Skuad Hoki Wanita Kebangsaan akan menutup aksi Kumpulan A pada 19 Jun bertemu Uruguay.