Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal berentap di pentas akhir, esok, selepas kedua-dua pasukan membenam cabaran lawan masing-masing pada separuh akhir lelaki Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) 2024 di Pusat Sukan IOI Mall, Putrajaya, hari ini.
Skuad bimbingan Iman Gobinathan, Maybank, menewaskan naib juara edisi 2022, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1.
Gol pertama Maybank diledak oleh Meor Muhamad Azuan Hasan pada minit ke-18 yang dijelmakannya melalui jaringan padang.
Selang lima minit selepas itu, Meor Azuan Hasan menjaringkan gol kedua buat pasukannya juga melalui gol padang dan sekali gus meletakkan Maybank di depan 2-0.
Anak-anak buah Gobinathan terus beraksi cemerlang apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan melakukan flik terus hasil pukulan sudut penalti bagi menjarakkan kedudukan kepada 3-0 pada minit ke-25.
ATM memperoleh gol sagu hati yang disempurnakan oleh Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz pada minit ke-32.
Pengurus pasukan Maybank, Zamzam Mohamed Ali berkata, ini kali pertama Maybank berjaya mara ke perlawanan akhir selepas edisi lalu pasukannya menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Sasaran kami untuk mara ke perlawanan akhir pada kali ini tercapai dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Dr. Nora Manaf yang menjadi penyokong kuat sehingga kami berjaya ke tahap ini.
“Sokongan Datuk Nora yang bertanggungjawab membangunkan pasukan hoki dalam dewan Maybank amat kami hargai dan kejayaan mara perlawanan akhir kami dedikasikan untuk beliau,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tamat.
Mengulas mengenai kejayaan mara ke final, beliau memberitahu, Maybank diperkuatkan dengan empat pemain kebangsaan yang merupakan kakitangan bank tersebut.
“Kehadiran mereka berjaya mengukuhkan pasukan kami, lagipun kami telah bermain bersama sejak 2019 dan persefahaman yang kami bina menjadi antara penyumbang kepada kejayaan mara ke perlawanan akhir,” ujarnya.
Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir, TNB mengejutkan juara bertahan, DBKL HT 5-4 untuk mara ke final.
Lima gol TNB dijaringkan oleh Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan (minit ke-17, ke-22), Muhammad Aminuddin Md Zaid (minit ke-27), Shello Silverius (minit ke-28) dan Mughni Mohamad Kamal (minit ke-33).
DBKL yang dibimbing Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad menyumbat empat gol yang disempurnakan oleh Faridzul Afiq Mohd yang mencipta hatrik (minit ke-11, ke-33, ke-34) dan Wan Arif Faizuddin Wan Ameer Ruzman (minit ke-40).
