MHC Harap 46 Pemain Manfaat Peluang Diberi

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak mengingatkan para pemain yang terpilih untuk memanfaatkan peluang yang diberikan.

Tegasnya, semua 46 pemain juga diharap tidak memberikan sebarang alasan untuk tidak menghadirkan diri pada sesi pemilihan sekaligus ia bakal menutup peluang mereka untuk beraksi bersama skuad hoki lelaki kebangsaan pada masa akan datang.

“Pesanan saya senang sahaja, kepada semua 46 pemain ini, kamu telah diberi peluang bagi bermain dan jalani sesi latihan bersama pasukan hoki Malaysia.

“Gunakan peluang ini dan bersaing untuk Malaysia dan posisi anda. Sekarang ini anda berlawan antara satu sama lain tetapi sasaran utama adalah tugasan besar kepada kita. Kita perlu bina pasukan yang terbaik.

“Saya tidak mahu mendengar sebarang alasan  daripada 46 pemain ini macam dulu pengalaman saya ada yang kata, ada masalah peribadi dan beri alasan macam-macam.

“Ini peluang keemasan yang diberikan oleh jurulatih Sarjit dan ambil, jika anda tidak ambil saya percaya mereka tidak akan panggil anda lagi dan kami akan ambil pemain yang betul-betul berjuang untuk kita,” tegas Dato’ Ahmad Najmi pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Ahmad Najmi turut memaklumkan bahawa pihak MHC akan memberi sokongan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan.

“Seperti pengalaman kita yang dulu barisan kejurulatihan akan beri cadangan kepada jawatankuasa saya dan kita akan meneliti daripada segi bajet dan sebagainya.

“Selalunya kita akan memberi 100 peratus sokongan kepada sebarang jelajah atau perlawanan persahabatan yang dicadangkan barisan kejurulatihan,” katanya.