Pasukan Wanita Ke Pentas Final

Kemenangan ketiga berturut-turut Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan termasuk menundukkan lawan Thailand 3-0, hari ini di pusingan round robin, acara Hoki Padang Wanita, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, membawa mereka ke pentas final. Sembilan mata keseluruhan yang dikumpul pasukan negara menjadikan Malaysia sebagai pasukan pertama mengesahkan tempat di pentas final dan kini pasukan negara masih menanti siapakah lawan yang akan ditemui di pentas akhir. Tiga gol yang dicetak Pasukan Wanita Negara hari ini terhasil dalam suku kedua perlawanan bermula dengan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minti ke-23. Fatin Shafikah Mahd Sukri menambah gol kedua Malaysia pada minit ke-26 selepas situasi kelam kabut dalam kawasan “D” Thailand untuk menidakkan asakan negara digunakan dengan sebaiknya oleh Fatin Shafikah yang tidak dikawal di sebelah kiri pintu gol lawan. Tiga minit sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol apabila satu flik terus daripada Nuraini Abdul Rashid gagal diselamatkan penjaga gol Thailand dan kedudukan 3-0 tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, bersyukur dengan kemenangan ketiga berturut-turut yang dimenangi mereka selain memuji pemain yang berjaya menyerap tekanan keadaan cuaca panas terik serta bahang untuk terus memberikan yang terbaik di atas padang. “Pemain-pemain bermain dengan mengikut perancangan yang diberikan kepada mereka, namun begitu, ada seketika mereka mula kurang tumpuan dan menyebabkan pasukan lawan datang menyerang dan lawan kami Thailand juga bermain dengan baik hari ini. “Kami juga melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk terlepas gol menerusi pukulan sudut penalti dan perkara ini akan terus kami baiki menjelang baki perlawanan yang tinggal selain kami perlu lebih berdisiplin di bahagian pertahanan untuk tidak membenarkan lawan masuk ke kawasan “D” kami dengan mudah. “Secara keseluruhan saya memuji usaha pemain-pemain namun saya menuntut lebih lagi dari mereka. Walaupun kami telah layak ke final, kami akan tetap fokus pada perlawanan menentang Indonesia nanti, sama seperti sebelum ini dan kami tetap menghormati siapa sahaja lawan yang kami temui,” jelasnya. Esok merupakan hari rehat buat Pasukan Wanita Negara dan Isnin (15 Mei) mereka akan turun melengkapkan jadual perlawanan pusingan round robin menentang Indonesia jam 3:00 petang, waktu Malaysia.