Piala Asia 2022 : Arulselvaraj Lihat Jaringan Daripada Pemain Dan Cara Berbeza Satu Petanda Positif

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan kemenangan 7-0 menewaskan Oman pada aksi pembukaaan Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno hari ini, dan jaringan dilakukan oleh lima pemain berbeza merupakan satu petanda yang baik.

Jelas beliau selain daripada gol dijaringkan oleh pemain berbeza, cara gol terhasil iaitu menerusi pukulan sudut penalti, penalti stroke dan gol padang juga membuktikan pemain-pemainnya boleh menjaringkan gol daripada pelbagai cara.

“Pada perlawanan hari ini, apa yang kami mahukan daripada perlawanan pertama ini adalah untuk menamatkan perlawanan pada separuh masa pertama.

“Kami mendahului  4-0 dan ia memudahkan kami untuk meneruskan perlawanan kerana kami tidak mahu bergelut sepanjang perlawanan untuk mencari gol.

“Seperti yang kami telah bincangkan kami mahukan gol daripada Razie Rahim. Kami memiliki lima pukulan sudut penalti dan Razie Rahim menjaringkan dua daripadanya serta satu daripada penalti stroke.

“Gol hari ini juga dijaringkan oleh lima pemain yang berbeza dan ia menunjukkan pemain-pemain boleh menjaringkan gol dan ia sesuatu yang cukup bagus apabila terdapat gol dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti dan juga gol padang.

“Razie Rahim menjaringkan gol daripada pukulan sudut penalti dan penalti stroke sementara Shahril Saabah, Faizal Saari, Faiz Helmi dan Ashran Hamsani menjaringkan gol daripada gerakan padang,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Korea Selatan pada aksi kedua esok, Coach Arulselvaraj menjelaskan Korea Selatan mempunyai barisan kejurulatihan yang baik dan pemain-pemain yang boleh menjaringkan gol. Kelebihan untuk menyaksikan pertemuan Korea Selatan menetang Bangladesh akan digunakan sebagai salah satu persediaan sebelum bertemu mereka.

“Banyak kerja yang telah dilakukan sebagai persediaan untuk bertemu Korea Selatan termasuk menganalisis video perlawanan mereka ketika di Trofi Juara-Juara Asia dan kami telah mendapat sedikit sebanyak informasi mengenai mereka.

“Esok merupakan satu perlawanan yang berbeza dan apa yang berlaku hari ini telah menjadi sejarah untuk kami,” tambahnya lagi.

Malaysia akan turun bertemu Oman pada Selasa (24 Mei) jam 5.15 petang waktu Malaysia.