Pingat Emas Ke-34 Kontinjen Malaysia Dari Pasukan Wanita

Kemenangan 4-1 yang dicatatkan oleh Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan ke atas Thailand pada aksi final acara Hoki Padang Wanita, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, hari ini, menyumbang pingat emas terakhir (34) buat kontinjen Malaysia. Secara keseluruhan Pasukan Wanita Negara menutup kempen Temasya Sukan SEA 2023 dengan lima kemenangan berturut-turut selain Nuramirah Shakirah Zulkifli muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan mencetak lima gol dan pentas final pastinya memori terindah buat Fatin Shafikah Mahd Sukri yang meraih caps ke-100 bersama pasukan kebangsaan. Dalam aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan lawan menerusi gerakan padang Natthakarn Aunjai pada minit keempat. Tersentak dengan gol tersebut, kem negara terus menggandakan asakan dan hasilnya dua minit kemudian, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Siti Nur Arfah Mohd Nor berjaya untuk memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol penyamaan. Bermula daripada gol penyamaan tersebut, Malaysia terus meningkatkan momentum perlawanan dan mereka dihadiahkan dengan penalti stroke pada minti ke-18 dengan Nuraini Abdul Rashid tenang menjaringkan gol kedua Malaysia. Seminit sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad mencatat nama selaku penjaring serta menutup separuh masa pertama dengan Malaysia selesa mendahului 3-1. Bersambung suku ketiga, pada minit ke-41, satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki oleh Pasukan Negara dan kali ini flik yang dilakukan oleh Kirandeep Kaur Gurdip Singh berjaya untuk disudahkan oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar menerusi satu tolakan ke dalam pintu gol lawan dan gol Nur Afiqah memuktamatkan kemenangan 4-1 Malaysia ke atas Thailand. Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bersyukur dengan kemenangan yang dicatat oleh anak-anak buahnya dan memuji sikap tidak putus asa pemain-pemainnya walaupun ketinggalan terlebih dahulu. “Walaupun kami ketinggalan terlebih dahulu, tetapi pujian untuk pemain yang kekal tenang dengan situasi tersebut dan mengikut perancangan kami serta berjaya bangkit dengan kemenangan. “Untuk Sukan SEA kali ini, saya boleh simpulkan bahawa ianya satu kejayaan yang baik untuk pasukan dan kami tidak pernah bermain dengan keadaan cuaca panas dan mencabar seperti ini serta keadaan padang baru yang tidak sesuai dengan strategi pasukan. “Namun, saya melihat banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan apabila pulang ke Malaysia bagi memperkuatkan pasukan menjelang kejohanan yang akan datang. Dengan barisan pemain muda dalam pasukan ini, kami akan terus membuka ruang bagi mencari pemain terbaik untuk mewakili Pasukan Wanita Kebangsaan. “Terima kasih untuk semua sokongan, bantuan dan kepercayaan yang diberikan kepada pasukan sama ada daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM). “Walaupun pasukan ini merupakan projek jangka masa panjang, tetapi ini adalah platform permulaan untuk pasukan terus melangkah lebih jauh dan untuk penyokong serta peminat sukan hoki, terus sokong pasukan kami kerana kami masih dalam proses untuk membentuk satu pasukan terbaik di Asia. Jadi sokongan semua amat kami perlukan,” jelas beliau.