Sayap Ayam Juadah Kegemaran Muhajir Di Bulan Ramadan

Menjalani sesi latihan di bulan Ramadan adalah kebiasaan buat pemain-pemain hoki negara dalam membuat persiapan mengharungi beberapa kejohanan pada tahun ini.

 

Bagi pemain berpengalaman negara, Muhajir Abdu Rauf, berpuasa di Sabah mahupun Kuala Lumpur (KL) tidak memberi banyak perbezaan kecuali masa bersahur serta berbuka.

 

“Alhamdulillah sesi latihan semuanya baik dan berjalan seperti yang dirancang. Rata-rata semua pemain pun dah biasa berlatih di bulan Ramadan macam sebelum ini. Jadi semuanya okay sahaja,” kata Muhajir.

 

“Secara jujurnya, tak banyak perbezaannya berpuasa di Semenanjung atau Sabah. Cuma kalau puasa di Sabah, waktu Sahur awal dalam pukul 3 hingga 4 pagi dan berbuka pun awal pada pukul 6 petang.

 

“Kalau dekat KL, mungkin sedikit lewat sahur dan berbuka. Selain di Sabah solat terawih akan habis awal sebab waktu solat di Sabah masuk lebih awal berbanding KL,” katanya.

 

Ditanya berkenaan juadah kegemaran ketika berbuka serta perbezaan makanan di Sabah dan Kuala Lumpur, Muhajir kelahiran Sandakan itu mengakui ada perbezaannya terutama daripada segi penyediaan walaupun makanan itu seakan sama.

 

“Kalau dari segi juadah Ramadan ada sedikit berbeza. Jika di Semenanjung ada ayam percik, di Sabah ada sayap ayam. Mungkin bahan yang sama tapi cara penyediaan berlainan.

 

“Dan di Sabah ada murtabak jawa yang isinya sayur tapi kalau di semenanjung ada murtabak daging/ayam dan ada sos yang tersendiri.

 

“Sebenarnya banyak lagi, cuma Sabah mempunyai suku kaum yang berbeza, jadi mungkin makanan yang disediakan di bulan Ramadan juga mengikut suku kaum masing-masing,” jelasnya.

 

Pemain berusia 25 tahun yang beraksi dengan Maybank pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 turut berkongsi, tema warna baju raya selalunya ditetapkan oleh keluarga setiap tahun.

 

Jelasnya, perkara utama menjelang Hari Raya Aidilfitri adalah membeli tiket pulang ke Sabah kerana kebanyakkan adik beradiknya bekerja dan tinggal di semenanjung.

 

“Secara jujurnya, dari segi persiapan raya untuk tahun ini tidak ada perancangan lagi. Cumanya dari segi baju raya dan pemilihan warna, keluarga sudah pilih mengikut tema tahun ini.

 

“Kebanyakan adik beradik saya bekerja dan tinggal di Semenanjung. Jadi persiapan utama adalah membeli tiket balik raya ke Sabah,” ujarnya.

 

Muhajir ketika ini sedang menjalani sesi latihan bersama 30 pemain Skuad Senior Hoki Lelaki Kebangsaan bagi persiapan menghadapi jelajah Australia di Perth pada 20 April hingga 2 Mei ini dan kemudiannya mengharungi kempen Piala Negara-Negara di laman sendiri pada 15 hingga 21 Jun 2025.