Sumbangan dua anggota Tentera Darat Malaysia, Juliani Mohamad Din dan Siti Rahmah Othman dalam kejayaan Malaysian Tigress merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini, mendapat pengiktirafan daripada majikan mereka apabila kedua-dua pemain tersebut menerima Penganugerahan Pangkat Sarjan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Bin Hj Kassim pada satu Majlis Pemakaian Pangkat yang berlangsung di Wisma Perwira Tentera Darat, semalam.
Kenaikan pangkat yang diterima oleh Siti Rahmah dan Julaini merupakan salah satu cara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghargai sumbangan anggota mereka yang telah mengharumkan nama negara sekaligus nama ATM pada temasya dwi-tahunan tersebut.
Siti Rahmah ketika dihubungi nyata bersyukur dengan penganugerahan pangkat yang diterimanya dan bangga kerana dapat membuktikan bahawa dirinya boleh berjaya dalam bidang sukan dan juga kerjaya yang diceburinya.
Siti Rahmah berkata: “Syukur Alhamdulillah atas penganugerahan pangkat yang saya terima dan semestinya saya gembira dengan pangat Sarjan tersebut.
“Saya rasa sanggat bangga kerana berjaya untuk membuktikan kepada diri saya sendiri dan juga kepada keluarga bahawa saya bukan hanya mampu untuk berjaya dalam kerjaya sukan hoki, tetapi juga berjaya sebagai salah seorang anggota Tentera Darat,” jelas pemain berusia 31 tahun itu.
Siti Rahmah turut menambah kenaikan pangkat yang diterimanya adalah ekoran kejayaannya bersama Malaysian Tigress dan menjadikan kenaikan pangkat tersebut sebagai pembakar semangat untuknya terus mencipta lebih banyak kejayaan bersama skuad hoki wanita negara.
Jelasnya: “Kenaikan pangkat yang saya terima bermula daripada kejayaan saya bersama pasukan hoki wanita negara.
“Pangkat yang diterima ini juga membuatkan saya berasa sangat dihargai dan semestinya ia membakar semangat saya untuk terus melakukan yang terbaik dan mencipta kejayaan bersama pasukan hoki wanita.”
Semoga kejayaan Siti Rahmah dan Julaini akan menjadi pendorong kepada lebih ramai lagi anggota badan beruniform untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.









