SUKMA Sarawak (Lelaki) : Pahang, Perak Rebut Pingat Emas

Pahang dan Perak bakal berentap di pentas akhir acara hoki lelaki, Temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024, yang berlangsung di Stadium Hoki Padungan selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi separuh akhir, hari ini. Pahang ke pentas final selepas menidakkan cabaran Terengganu, 4-1 sementara penentuan shoot-out membawa Perak ke final menerusi kemenangan 4-3 ke atas Wilayah Persekutuan apabila kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 pada masa penuh. Pahang yang terlebih dahulu dikejutkan dengan gol Terengganu pada minit ke-30 bangkit meledak dua gol berturut-turut pada minit ke-40 dan ke-49 bermula dengan gol padang Airil Abdul Razak diikuti gol pukulan sudut penalti Muhammad Nor Daniel Md Nor Effendy. Skuad Tok Gajah itu terus melebarkan jurang gol untuk memastikan kemaraan ke final dengan dua lagi gol pada minit ke-49 menerusi jaringan padang Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi dan gol pukulan sudut penalti Mohamad Nor Syakir Hafiz, pada minti ke-50 yang juga merupakan gol kemenangan Pahang. Pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad menyifatkan Pahang telah mencipta sejarah tersendiri di bawah bimbingannya apabila mara ke final untuk edisi ketiga berturut-turut (2018, 2022 dan 2024). “Syukur pasukan ke pentas final sekali lagi dan ini adalah kejayaan program pembangunan hoki Pahang di Akademi Hoki Pahang, Temerloh. “Sasaran untuk ke final telah tercapai. Kini kami hanya selangkah untuk mempertahankan pingat emas dan kami yakin bahawa peluang pasukan untuk membawa pulang pingat emas adalah cerah ditambah dengan semangat yang kini membara dalam diri pemain. “Saya melihat motivasi dan keyakinan daripada awal perlawanan perlu diperbaiki lagi menjelang aksi final. Rehat sehari ini saya akan gunakan untuk bertemu setiap pemain dengan memberikan pandangan serta apa yang perlu mereka lakukan pada aksi terakhir nanti. “Saya juga akan melihat dan menganalisis kelebihan serta kekurangan lawan terakhir kami itu sebelum mengatur strategi terbaik untuk dipersembahkan pada penentuan pingat emas,” jelasnya. Dalam pada itu, gol shoot-out yang dijaringkan oleh Mohamad Zulhanif Sahran, Muhammad Syahrul Ikram Mohd Razali, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Ahmad Danish Noor Azmi membawa Perak ke pentas akhir. Aksi 60 minit menyaksikan, Wilayah Persekutuan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Aiman Hakimi Mohd Badrul Hisham pada minit ke-26 sebelum Perak bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang diterjemahkan oleh Disairul Fazrien Muhammad Nazrien pada minit ke-33. Empat minit kemudian, Wilayah Persekutuan kembali di hadapan menerusi satu lagi gol padang kali ini dijaringkan Sriraam Vikneswaran namun gol tersebut dipadam Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien pada minit ke-41 untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga tamat perlawanan. Pengendali Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim menzahirkan rasa syukur kerana pasukannya berjaya menepati sasaran yang diletakkan iaitu untuk pasukan beraksi di perlawanan merebut pingat emas. “Alhamdulillah kami ke final walaupun pada separuh masa pertama, saya melihat pemain sedikit gugup selain kami terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam lima minit terakhir perlawanan. Bagaimanapun pasukan berjaya mengimbangi permainan sehingga tamat perlawanan. “Aksi separuh akhir adalah aksi yang cukup baik kerana lawan kami Wilayah Persekutuan adalah lawan yang baik namun nasib lebih memihak kepada Perak untuk keluar selaku pemenang. “Aksi final saya melihat peluang adalah 50/50 untuk kedua-dua pasukan dan Perak mempunyai peluang untuk merampas pingat emas daripada Pahang. Saya percaya pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta bijak menggunakan peluang akan pulang dengan pingat emas. “Bagi memastikan kami bersedia sepenuhnya pada aksi final, kami sebagai satu pasukan akan mengadakan perbincangan bagaimana untuk memperkemaskan lagi pasukan selain mempertajamkan pukulan sudut penalti dan memberikan fokus kepada struktur pasukan,” ujarnya.