Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita Negara memastikan slot di pentas final menjadi milik mereka selepas berjaya menundukkan lawan, Indonesia 4-2 dalam perlawanan terakhir pusingan round robin, Acara Hoki Dalam Dewan, Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, hari ini.
Kejayaan pasukan Wanita Negara menyaksikan mereka akan membuat perhitungan dengan Thailand di pentas final esok (Ahad 7 Mei) jam 7:00 malam (waktu Malaysia) bagi merebut pingat emas sementara Pasukan Lelaki akan bertemu Indonesia jam 5:30 petang (waktu Malaysia) dengan misi yang sama iaitu menyubangkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Malaysia menewaskan Indonesia menerusi jaringan hatrik Iren Hussin yang terlebih dahulu membuka tiria jaringan pada minit keenam selepas menyudahkan kelebihan penalti stroke sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-11 hasil gerakan padang dan minit ke-27 hasil satu lagi kelebihan penalti stroke.
Perlawanan hari ini juga menyaksikan Nur Atira Mohamad Ismail mencatat nama sekalu penjaring pada minit ke-15 selepas bijak menggunakan peluang menerusi gerakan padang yang dimiliki dan Indonesia yang cuba bangkit dengan membalas dua gol, gagal untuk menidakkan kemaraan Malaysia.
Selepas tamat pusingan round robin, Malaysia telah mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri selain telah menjaringkan 28 gol dan hanya bolos dua gol, mengumpul keseluruhan 13 mata.
Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita, Mohd Badrul Hisham Osman menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diraih hari ini selain menyifatkan misi mereka iaitu meraih kemenangan untuk ke pentas final berjaya direalisasikan.
“Semua pemain bermain dengan begitu bagus mengikut apa yang dirancang. Saya berpuas hati dengan persembahan yang telah ditunjukkan oleh setiap pemain.
“Suku terakhir, Indonesia memberikan tekanan sepenuhnya kepada kami dan deretan pukulan sudut penalti berjaya mereka perolehi. Namun, pemain berjaya menutup setiap perancangan mereka untuk menidakkan kelebihan tersebut.
“Kami akan meneliti semula perlawanan hari ini sebagai persiapan final esok dan segala kesilapan kami akan perbetulkan. Selain itu dalam sesi video malam ini, kami akan lihat kembali kelemahan pasukan dan merancang taktikal yang akan digunakan untuk menentang Thailand esok.
“Harapan kami tentunya mahu membawa pulang pingat emas dan kami berharap pemain dapat bermain dengan sehabis baik. Selain itu kami turut memohon doa daripada peminat hoki di tanah air agar kejayaan memihak kepada kami di sini,” jelas beliau.
Sementara itu Pasukan Lelaki Negara yang turun melengkapkan jadual pusingan round robin hari ini bertemu Indonesia, berjaya memastikan rekod bersih tanpa kalah dikekalkan selepas menewaskan lawan 3-2.
Corak permainan yang lebih berhati-hati dan “simpan kuku” ditampilakan oleh kedua-dua pasukan yang akan bertemu sekali lagi esok dengan misi yang lebih penting.
Indonesia bagaimanapun membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi gol padang Candra Prawesti pada minit keenam sebelum kem negara kembali membalas dengan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-13 dan sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Bersambung suku kedua, pada minit ke-30, Indonesia kembali dihadapan hasil gol gerkaan padang Muhammad Firdaus namun gol tersebut segera dilenyapkan oleh dua gol daripada pasukan negara hasil gerakan padang Abdul Khaliq Hamirin pada minit ke-35 dan gol pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minti ke-37.
Kedudukan 3-2 kekal menutup perlawanan dan Malaysia menutup aksi pusingan round robin di kedudukan teratas dengan 15 mata penuh, menjaringkan 42 gol selain bolos 6 gol.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim bersyukur kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan hari ini kerana pertemuan dengan Indonesia, sekali lagi pada esok merupakan satu perlawanan yang cukup penting.
“Perlawanan hari ini, pemain menunjukkan kawalan dalam permainan selain bersabar dan tidak terburu-buru.
“Dengan kemenangan hari ini, sekaligus Malaysia mencatatkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan round robin. Apa yang saya harapkan prestasi pemain serta momentem setiap perlawanan yang telah ditunjukan oleh pemain dapat memberikan impak yang positif dan menaikkan semangat pemain pada final esok.
“Saya juga berharap untuk final esok, setiap pemain berada dalam keadaan yang sihat serta emosi dalam keadaan yang stabil. Selain itu dari segi perancangan taktikal saya berharap pemain lebih fokus dan agrasif di atas court agar setiap perkara yg dirancang, semua pemain dapat menterjemahkan dengan baik,” ujar beliau.
