Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mengukuhkan kedudukan di persada carta liga selepas menundukkan Angkatan Tentera HT 6-1 dalam aksi Premier, TNB Liga Hoki Malaysia 2025 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.
Penyerang skuad kebangsaan, Faizal Saari muncul wira THT apabila meledakkan empat gol pada minit ke-2, ke-34, ke-46 dan ke-48, manakala, dua gol lagi disumbangkan oleh pemain muda Malaysia, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (minit ke-7, ke-35).
Jaringan tunggal Angkatan tentera pula disempurnakan oleh Muhamad Nazrey Din pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom itu kini mengumpul 15 mata selepas melakar lima kemenangan berturut-turut.
Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Mara HT (UiTM) yang turun selaku underdogs mengejutkan Maybank menerusi kemenangan 3-1.
UiTM yang diterajui jurulatih, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar hanya mampu memecah kebuntuan jaringan pada suku kedua permainan menerusi T. Perabu pada minit ke-20 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Pemain sama meletakkan UiTM mendahului 2-0 pada minit ke-48 juga menerusi pukulan sudut penalti, sebelum rakan sepasukan, Muhammad Hafiizhuddin Zaidi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50 hasil gol padang.
Gol tunggal Maybank pula dijaringkan oleh Shahmie Irfan Suhaimi melalui gol padang pada minit ke-59 dan keputusan 3-1 kekal berpihak kepada UiTM sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.
Dalam satu lagi aksi di Pulau Pinang, Kelab Hoki Matador berpesta gol selepas mencipta kemenangan besar 8-1 ke atas Nurinsafi Sporting di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas.
Matador membuka jaringan seawal minit ketiga melalui Muhammad Sufyan Khan dan pemain itu beraksi cemerlang apabila menyumbat tiga gol lagi pada minit ke-25, ke-42 dan ke-58.
Tambahan empat gol dijelmakan oleh Abdul Hannan Shahid (minit ke-20, ke-21), Amanraj Singh (minit ke-24) dan Abdul Manan (minit ke-55).
Pengurus Matador, Sarwan Singh ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, para pemain mempamerkan persembahan yang baik dan kemenangan itu amat penting dilakar pasukannya dalam aksi sulung mereka.
“Kombinasi pemain antara Pakistan dan Malaysia cukup serasi dan mereka telah menunjukkan persefahaman yang baik dalam perlawanan ini,” katanya.









