Kejayaan skuad hoki wanita bawah 18 tahun (B18) negara menamatkan kempen Piala Asia B18 2026 di tangga kelima tetap dianggap satu pencapaian memberangsangkan walaupun sasaran awalnya adalah kedudukan podium.
Ini berdasarkan keseluruhan prestasi dipamerkan skuad negara yang kurang bernasib baik apabila tewas tipis 0-1 kepada dua gergasi Asia, India dan Korea Selatan dalam peringkat kumpulan sebelum ini.
Reaksi positif ditunjukkan termasuk menewaskan Bangladesh 4-0 dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Kakamigahara, Jepun hari ini membuktikan perkembangan pemain-pemain muda negara berada di landasan tepat.
Ketua jurulatih B18 wanita negara, Siti Amarina Ruhani amat berbangga dengan komitmen dan semangat juang tinggi ditunjukkan barisan pemain sepanjang kempen Piala Asia B18 kali ini.
“Saya sangat berbangga dengan keberanian mereka bermain di peringkat tinggi. Ini membuktikan keupayaan mereka berdepan tekanan tinggi dan ia satu perkara positif yang perlu diteruskan.
“Semua pemain tunjukkan prestasi terbaik dan semangat juang tinggi kerana kita tahu standard Piala Asia B18 ini sangat baik untuk mereka belajar. Semestinya kelemahan di sini akan kita perbaiki apabila pulang ke Malaysia nanti.
“Terima kasih kepada penyokong-penyokong Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan pasukan kami. Teruskan menyokong pasukan hoki B18 wanita dan lelaki,” katanya.
Nurfitrah Nadhia Shamsudin buat kali kedua memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol padang pada minit ke-36 dan 38 dalam kemenangan 4-0 ke atas Bangladesh.
Penyerang berusia 16 tahun itu kali pertama dinobatkan anugerah tersebut ketika meledak hatrik menewaskan Singapura 13-0 dan kini secara keseluruhan mengumpul lima jaringan sepanjang kejohanan.
Menariknya, baki dua lagi gol B18 wanita negara hari ini turut hadir menerusi jaringan padang daripada Nur Zariefah Dania Mazlan dan Nur Qashrina Azli pada minit ke-52 serta 55.
“Bangladesh pasukan sedang meningkat naik. Dua suku masa pertama kita agak tertekan kerana kita nak gol awal untuk jatuhkan keyakinan lawan. Selepas itu pemain bangkit mendapatkan gol dan memastikan kemenangan,” tambah Amarina.









