Skuad B18 Lelaki Negara Alih Fokus Buru Tempat Ketiga

Skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B18) negara perlu bangkit melupakan kekalahan kepada Jepun di separuh akhir dalam usaha memburu kedudukan podium Piala Asia B18.

 

Barisan muda negara juga harus segera mengalihkan fokus kepada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, selepas tewas 1-8 kepada Jepun di Stadium Hoki Kakamigahara hari ini.

 

Ketua jurulatih B18 lelaki negara, Mohd Harfizi Baharom menyifatkan kegagalan beraksi konsisten sepanjang perlawanan antara faktor kepada kekalahan tersebut.

 

“Kita gagal mengawal rentak mereka dan kesilapan-kesilapan mudah kita lakukan, Jepun berjaya ambil peluang dan hasilkan kepada jaringan.

 

“Tumpuan sekarang terarah kepada penentuan tempat ketiga. Malaysia akan cuba berikan yang terbaik esok,” katanya.

 

Jepun berjaya meraih lima gol dalam 30 minit pertama menerusi Numada Gaku (m7), Yoshioka Mahiro (m11), Inukai Yoga (m21) dan dua jaringan Dobashi Takuya (m11, m20).

 

Mori Tatsuya menjadikan kedudukan 6-0 buat Jepun (m44) sebelum Inukai Yoga melengkapkan hatrik dengan dua lagi gol pada minit ke-44 dan 48).

 

Jaringan tunggal Malaysia pula dihasilkan Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-47.

 

B18 Malaysia akan bertemu Pakistan di perebutan pingat gangsa esok selepas lawan itu tewas 3-5 kepada India dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.