Scotland Belum Pernah Menang Ke Atas Malaysia

Di atas kertas, Skuad Hoki Lelaki Negara sepatutnya tiada masalah untuk meraih kemenangan pertama Piala Negara-Negara 2025-26 menentang Scotland di Stadium Hartleyvale, Cape Town pada pukul 6.15 petang ini.

 

Malaysia di ranking ke-14 dunia, tidak pernah tewas dalam tiga pertemuan menentang Scotland (No.17 dunia) sejak kali pertama bertemu di Kelayakan Piala Dunia menerusi kemenangan 3-2 pada 12 November 2009.

 

Dua pertemuan selepas itu turut meraih keputusan positif apabila menang 2-1 pada klasifikasi 7&8 Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan 2-1 dalam penentuan tempat 5/6 di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

 

Selepas lapan tahun tidak bertemu, Scotland tetap tidak boleh dipandang mudah kerana lawan dari Eropah itu muncul juara Piala Negara-Negara 2, menewaskan Mesir 4-2 pada final edisi 2024-25 yang melayakkan mereka beraksi di Afrika Selatan kali ini.

 

“Ia satu peluang yang bagus untuk kami menentang beberapa pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Sasaran kami juga cukup tinggi di sini” kata kapten Scotland, Robert Field kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

 

Beliau ditemuramah dalam satu majlis FIH dihadiri semua ketua pasukan termasuk kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk bergambar dengan trofi prestij Piala Negara-Negara kali ini.

 

Selain Field, penjaga gol, Thomas Alexander dan Struan Walker antara pemain Scotland yang menjadi taruhan berdepan Malaysia.

 

Selain Malaysia dan Scotland, Kumpulan A turut menyaksikan Jepun, New Zealand dan Korea Selatan, manakala saingan Kumpulan B melibatkan tuan rumah Afrika Selatan, Perancis, Ireland dan Amerika Syarikat.