Finalis tahun lalu bagi kategori lelaki TNB-1Mas Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun, Pahang dan Johor akan berentap seawal peringkat kumpulan Y apabila undian yang telah dijalankan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi bagi menentukan kedudukan pasukan dalam saingan X-Y menyaksikan Pahang, Sabah dan Johor diundi dalam satu kumpulan iaitu Y.
Selepas tamat kesemua aksi peringkat kumpulan, Pahang, Perak dan Sabah muncul selaku juara peringkat kumpulan, sementara Perlis, Johor dan Kuala Lumpur muncul naib juara bagi kategori lelaki.
Sementara aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jalan Pantai menyaksikan Pahang, Melaka dan Pulau Pinang muncul selaku juara peringkat kumpulan dan Terengganu, Selangor serta Kuala Lumpur menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku naib juara.
Keputusan juara serta naib juara bagi kategori lelaki dan perempuan membawa pasukan-pasukan tersebut untuk beraksi di pusingan kedua atau saingan Kumpulan X-Y.
Menerusi undian yang telah berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, bagi kategori lelaki, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur diundi untuk berada di dalam Kumpulan X, dan Pahang, Sabah serta Johor diundi untuk meneruskan saingan bagi kumpulan Y.
Bagi kategori perempuan pula, juara kumpulan B, Melaka, Kuala Lumpur dan Terengganu akan berentap dalam kumpulan X dan juara kumpulan A, Pulau Pinang, Juara kumpulan C, Pahang dan Selangor akan beraksi dalam kumpulan Y bagi meneruskan impian mereka untuk menempah slot ke separuh akhir dan seterusnya mengejar perlawanan akhir.
Mengulas mengenai undian yang telah berlangsung, pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad tidak mahu memikirkan tentang aksi final tahun lalu yang menemukan Pahang dan Johor serta menganggap tidak adil untuk membuat perbezaan kerana pemain silih berganti.
“Jika ingin membuat perbandingan dengan tahun lalu saya berasa tidak adil kerana pemain yang beraksi tahun ini kebanyakan tidak beraksi pada tahun lalu.
“Saya melihat Johor dan Sabah merupakan pasukan yang kuat kerana mereka telah membuktikannya ketika peringkat kumpulan dan saya ada mengkaji permainan mereka dan apa yang boleh saya katakan, Pahang akan bermain bermati-matian untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” jelas Sufian.
Sementara bagi pengendali naib juara tahun lalu Johor, Mohamad Nor Hafiq Abdul Gaffar pula menyifatkan aksi di saingan X-Y lebih terbuka dan pasukan yang bijak untuk menggunakan peluang yang dimiliki bakal memperolehi kemenangan.
“Bagi saya persaingan di peringkat X-Y adalah terbuka dan semuanya bergantung kepada pasukan masing-masing jika bijak untuk mengambil peluang yang dimiliki kemenangan bakal berpihak kepada mereka dan juga sebaliknya.
“Kami akan bertemu dengan Sabah untuk perlawanan pertama dan saya mahu melihat terlebih dahulu aksi yang bakal ditampilkan oleh Pahang dan Sabah sebelum saya boleh mengatur strategi kerana setiap pasukan mencari kemenangan dan siapa bijak mereka akan berjaya,” jelas NorHafiq.
Berikut merupakan jadual perlawanan bagi kategori lelaki, esok (Rabu, 13 Disember 2017) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil:
0700, kedudukan ke-13 hingga ke-15, Melaka mln Kedah
0830, kedudukan ke-10 hinggake-12, Pulau Pinang mln Terengganu
1600, kedudukan ketujuh hingga kesembilan, Kelantan mln Negeri Sembilan
1730, Kumpulan X, Perak mln Perlis
1900, Kumpulan Y, Pahang mln Sabah
Berikut merupakan jadual perlawanan bagi kategori perempuan, esok (Rabu, 13 Disember 2017) di Stadium Hoki KPM, Jalan Pantai:
0730, kedudukan ke-10 hingga ke-12, Kedah mln Negeri Sembilan
0900, kedudukan ketujuh hingga sembilan, Perlis mln Perak
1500, Kumpulan X, Melaka mln Kuala Lumpur
1660, Kumpulan Y, Pulau Pinang mln Pahang
