Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan oleh skuad hoki lelaki Johor dalam TNB-1Mas Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 Tahun ketika menentang Selangor di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini sudah cukup untuk membawa skuad bimbingan Mohamad Nor Hafiq Abdul Gaffar ke pusingan kedua atau saingan kumpulan X-Y mengiringi Pahang dan Sabah yang telah terlebih dahulu mara.
Johor yang ketinggalan seawal minit keenam apabila pemain Selangor, Wan Amirul Rifqi Wan Amran meledak jaringan padang bangkit untuk mengikat kedudukan pada minit ke-37 selepas kelebihan pukulan sudut penalti dimanafaatkan sebaiknya oleh Mohamad Jeffryzin untuk sekaligus membawa Johor ke saingan kumpulan X-Y.
Nor Hafiq jelas berpuas hati dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya yang akhirnya membawa mereka ke pusingan seterusnya dan pengendali itu turut menambah dia dan pasukannya akan memandang serius cabaran yang akan diberikan oleh semua pasukan yang layak ke saingan X-Y kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi dengan pemain-pemain saya dan saya percaya pasukan kami boleh mencipta jaringan dan apa yang saya lakukan adalah percaya kepada mereka, bersabar dan yakin yang jaringan akan tiba untuk pasukan kami dan akhirnya pemain membuktikan kami layak ke saingan X-Y.
“Saya memandang semua pasukan yang bersaing dalam kumpulan X-Y mempunyai kekuatan tersendiri tetapi semuanya terpulang kepada pasukan itu sendiri di mana jika mereka mempunyai semangat jaung yang tinggi, mereka akan melepasi peringkat yang lebih jauh,” jelas Nor Hafiq yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Sementara Kuala Lumpur yang terdesak mencari kemenangan untuk meletakkan sebelah kaki ke saingan X-Y perlu berterima kasih kepada jaringan tunggal Sriraam Vikneswaran pada minit ke-44 menerusi jaringan padang yang memberikan tiga mata penuh untuk Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Kuala Lumpur perlu menunggu sehingga Terengganu menamatkan perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan untuk mengesahkan kedudukan mereka di pusingan seterusnya selepas Terengganu berjaya menewaskan Kedah 1-0 dan masih mempunyai peluang untuk mengejar tempat di saingan X-Y.
Dalam pada itu bagi saingan perempuan, Pahang (Kumpulan A), Melaka dan Selangor (Kumpulan B ) serta Pulau Pinang (Kumpulan C) telah berjaya untuk menempatkan diri di pusingan seterusnya. Dua lagi slot bagi kategori perempuan kumpulan A dan C untuk mara ke saingan X-Y hanya akan diketahui esok selepas tamat kesemua perlawanan peringkat kumpulan.
Lain-lain keputusan kategori lelaki:
Kumpulan A: Pulau Pinang 0-1 Pahang dan Kelantan 2-1 Perlis
Kumpulan B: Selangor 1-1 Johor dan Sarawak 0-1 Singapura
Kumpulan C: Negeri Sembilan 0-1 Kuala Lumpur dan Terengganu 1-0 Kedah
Lain-lain keputusan kategori perempuan:
Kumpulan A: Kedah 1-3 Perlis dan Terengganu 3-0 Singapura
Kumpulan B: Sarawak 0-3 Johor dan Selangor 1-1 Melaka
Kumpulan C: Negeri Sembilan 0-1 Perak
