TNB-1Mas Kejohanan Hoki B-14: Perak jumpa Sabah Di Pentas Final

Perak mengiringi Sabah untuk mara ke perlawanan akhir, TNB-1Mas Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 Tahun bagi kategori lelaki selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan X yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Perak yang bermain dengan lebih tenang serta selesa terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila Muhammad Amirul Hanif Mamat yang berada di kiri pintu gol lawan bijak untuk merobek gawang tersebut dan jaringan kedua Perak tercetus lima minit kemudian menerusi Muhammad Syahrul Ikram Mohd Razali yang menggunakan keadaan pintu lawan yang tidak dikawal untu meledak gol. Bagaimanapun dua minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan, Kuala Lumpur berjaya untuk mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan padang Mohammad Shafiq Abdullah. Kemenangan yang membawa Perak ke pentas akhir nyata mengembirakan pengendali mereka Mohd Azmi Yahya dan beliau memuji sikap pemain yang beraksi dengan lebih tenang serta merealisasikan setiap perancangan pasukan selain meledak dua gol. “Syukur Alhamdulillah saya gembira kerana pasukan berjaya ke perlawanan akhir dan ia merupakan bonus untuk kami melangkah ke pentas final. “Saya telah membuat analisis permainan Kuala Lumpur dan perancangan yang telah saya buat menjadi malah pemain mengikut perancangan saya dengan baik jadi ia membantu kami untuk menjaringkan gol dengan lebih mudah. Bagaimanapun, Azmi mahu membuat perancangan yang lebih teliti sebelum turun bertemu Sabah esok bagi memastikan mereka mampu untuk melakar kejutan pada perlawanan tersebut selain akan menilai dan memperbaiki kesilapan melepaskan satu gol pada perlawanan bertemu Kuala Lumpur hari ini. “Saya sangat bersyukur jika tahun lalu kami menamatkan kejohanan di tempat kelima, tetapi tahun ini kami melangkah ke final. “Malam ini saya akan merancang strategi untuk bertemu Sabah dan cuba untuk menewaskan mereka kerana Sabah merupakan pasukan pilihan bagi saya kerana mereka telah lama kumpul bersama jika dibandingkan dengan pemain saya yang datang daripada empat buah sekolah yang berbeza dan mempunyai masa yang singakt untuk mencorakkan pasukan. “Saya mahu meneliti semula bagaimana kesilapan yang berlaku sebenarnya di bahagian lawan (Kuala Lumpur) tetapi kami melepaskan satu jaringan dan saya akan melihat semula serta memperbetulkannya untuk kami lebih bersedia pada perlawanan bertemu Sabah esok,” tambah Azmi. Sementara itu bagi kategori perempuan, Kuala Lumpur yang telah mengesahkan tempat mereka di pentas akhir semalam akan membuat perhitungan dengan Pulau Pinang yang berjaya mara selepas menewaskan Selangor 3-0. Tiga jaringan Pulau Pinang yang berpunca daripada gerakan padang bermula pada minit ke-16 menerusi Aina Maisarah Mohd Zaidi dan diikuti oleh Siti Nur Atika Shaikh Maznan berselang tiga minit kemudian. Pulau Pinang memuktamatkan kemenangan mereka pada minit ke-38 menerusi Nur Aliah Saiful Bahari untuk melangkah ke perlawanan akhir. Berikut merupakan jadual perlawanan Sabtu, 16 Disember 2017 (Lelaki) : 0900 : Perlis mln Pahang (Penentuan tempat kelima dan keenam) Perlawanan di Stadium Hoki KPM 0830: Kuala Lumpur mln Johor (Penentuan tempat ketiga dan keempat) Perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil 1800: Perak mln Sabah (FINAL) Perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Berikut merupakan jadual perlawanan Sabtu, 16 Disember 2017 (Perempuan) : 0730: Terengganu mln Selangor (Penentuan tempat kelima dan keenam) Perlawanan di Stadium Hoki KPM 0730: Melaka mln Pahang (Penentuan tempat ketiga dan keempat) Perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil 1630: Kuala Lumpur mln Pulau Pinang (FINAL) Perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil