Terengganu Hockey Team (THT) menundukkan seteru ketat Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 dalam perebutan Piala Sumbangsih pada TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Kejayaan tersebut juga menyaksikan skuad bimbingan, Mohd Harfizi Baharom itu menafikan hajat TNB untuk mengulangi pencapaian musim lalu merangkul gelaran trable apabila salah satu trofi berjaya dirampas mereka.
TNB yang berada di bawah teraju ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menamatkan musim 2024 dengan membolot kesemua gelaran buat kali pertama apabila memenangi Piala Sumbangsih, MHL dan Piala TNB.
THT pula terpaksa berpuas hati dengan muncul sebagai naib juara untuk ketiga-tiga piala tersebut.
Dalam aksi Piala Sumbangsih itu, dua gol THT disumbangkan oleh Faizal Saari (minit ke-30) dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (minit ke-42), manakala, jaringan tunggal TNB dijaringkan oleh pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun (minit ke-27) melalui penalti stroke.
Mohd Harfizi berkata, beliau optimis bahawa skuad bimbingannya berupaya untuk meruntuhkan kekebalan TNB hasil bantuan beberapa tonggak kebangsaan seperti Faizal dan Fitri Saari.
“Kami berjaya merampas kembali Piala Sumbangsih daripada terus berada di dalam genggaman TNB dan ia satu pencapaian yang hebat.
“Perlawanan berlangsung dalam intensiti tinggi dan saya gembira kami berjaya meraih kemenangan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir, semalam.
Menurut Mohd Harfizi, kekebalan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman telah banyak menyelamatkan pintu gol THT daripada dibolosi pasukan lawan.
Jelasnya, kehadiran beberapa pemain berpengalaman termasuk tonggak import dari Korea Selatan, Lee Nam Yong dan Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan telah memastikan kejayaan THT.
“Samkelo sebenarnya hanya sampai ke Kuala Lumpur empat hari lalu dan saya yakin secara perlahan-lahan dia akan menyesuaikan diri dengan corak permainan kami dan juga kehidupan di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Maybank yang turut beraksi dalam perlawanan pembukaan TNB MHL 2025 mencatat kemenangan 3-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
Tiga gol Maybank disempurnakan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan (minit ke-13), pemain import dari Australia, Govers Kieran Ian (minit ke-50) dan Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-52), manakala, gol tunggal ATM dijaringkan menerusi Mohamad Nor Firdaus Rosdi (minit ke-32).









