Pasukan Hoki Terengganu (THT) meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Maybank 2-1 pada TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Bagaimanapun, Maybank terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain kebangsaan, Muhajir Abdu Rauf hasil gol padang pada minit ke-12.
THT yang tersentak dengan jaringan tersebut, berusaha bangkit bagi memburu gol penyamaan dan usaha itu berhasil apabila Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menyumbat gol penyamaan pada minit ke-17 yang juga dijelmakan melalui jaringan padang.
Penyerang THT, Faizal Saari menyumbang gol kemenangan pasukan daripada Pantai Timur itu melalui jaringan padang pada minit ke-27.
Sabtu lalu, skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom itu merangkul gelaran Piala Sumbangsih selepas menumbangkan juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Harfizi ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, pertembungan dengan Maybank tidak mudah dan anak-anak buahnya bergelut untuk mendapatkan rentak permainan.
“Saya gembira kami berjaya menjaringkan dua gol dan bertahan sehingga ke hujung saingan,” katanya.
Dalam nada merendah diri, beliau turut mengakui pasukan lawan memiliki struktur permainan yang lebih tersusun berbanding skuad bimbingannya.
THT mempunyai tiga hari rehat sebelum menghadapi perlawanan berikut menentang UiTM HA-KPT, Jumaat ini.
Kelmarin, UiTM HA-KPT yang dibimbing Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar tewas 0-1 di tangan TNB Thunderbolts dalam perlawanan pertama mereka.
Gol tunggal pertemuan itu dijaringkan oleh Mohamad Zulhanif Sahran pada minit ke-50 dan sekali gus menghadiahkan tiga mata kepada TNB Thunderbolts.
Sementara itu, Maybank yang diterajui Iman Gobinathan pula mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan dan kini menghuni tangga kedua di belakang pendahulu THT yang mengumpul enam mata.
Dalam aksi berikut, Jumaat ini, Maybank akan berdepan Pasukan Hoki Liaoning dari China.









