Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan rentak cemerlang apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-0 pada aksi Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia hari ini.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut dilakar skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu selepas turut meraih tiga mata penuh ketika menewaskan Maybank pada perlawanan ketiga.
Amin nyata berpuas hati dengan aksi barisan pemainnya yang dapat mengikut segala taktikal permainan dimahukannya pada perlawanan yang berlangsung di Stadium SSTMI.
"Secara keseluruhan, saya berpuas hati. Tapi masih ada ruang lagi untuk perbaiki corak permainan.
"Sebab selepas ini kita bakal bertemu pasukan lebih hebat seperti KLHC (Kelab Hoki Kuala Lumpur) dan THT (Terengganu Hockey Team).
"Jadi setiap pemain perlu sedar bahawa mereka akan berdepan perlawanan lebih sukar selepas ini," katanya.
Namun sebelum bertemu dua pasukan gergasi itu, TNB bakal bertemu UiTM-KPT, Ahad ini.
Pada satu lagi perlawanan di stadium sama, THT membelasah TNB Thunderbolts 8-0.
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula menewaskan UiTM-KPT 6-2 di Stadium Hoki Pantai untuk terus kekal memimpin saingan liga.
Sementara itu di Stadium Hoki Bukit Serindit, KLHC tidak berdepan masalah untuk menewaskan Maybank 4-1.
KEPUTUSAN TNBMHL 2017 PREMIER LEAGUE (20 Januari 2017):
UITM-KPT 2-6 UniKL
Maybank 1-4 KLHC
SSTMI 0-4 TNB
TNB Thunderbolt 0-8 THT
