Perlawanan kelima pada minggu ketiga, TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 (Wanita), menyaksikan QNET Phoenix dan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata apabila aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Sementara rekod bersih tanpa kalah Liaoning Women’s Hockey Team lebur ditangan PDRM Blue Warriors hasil jaringan tunggal Fatin Shafika Mahd Sukri yang menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Keputusan tersebut juga menyaksikan PDRM Blue Warriors dan Liaoning Women’s Hockey Team kini berkongsi 12 mata keseluruhan namun kelebihan jaringan meletakkan Liaoning Women’s Hockey Team kekal di kedudukan ke-2 sementara PDRM Blue Warriors di kedudukan ketiga.
Penjaring gol tunggal PDRM Blue Warriors, Fatin Shafika Mahd Sukri bersyukur kerana berjaya membantu pasukannya mengutip tiga mata pada pertemuan yang disifatkan sengit itu dan mata tersebut juga membantu PDRM Blue Warriors, untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
“Syukur Alhamdulillah untuk tiga mata yang cukup berharga hari ini dan semestinya saya gembira kerana berjaya membantu pasukan untuk menewaskan pasukan kuat seperti Liaoning yang sebelum ini kekal dengan rekod tanpa kalah.
“Apa yang penting untuk pasukan kami untuk ketika ini adalah kami tidak boleh kehilangan sebarang mata dan kami perlu mengekalkan momentum yang baik bagi memastikan kami berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga,” jelasnya.

Pada pertemuan QNET Phoenix dan Negeri Sembilan, Skuad bimbingan K. Rajan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import mereka, Li Meiling pada minti ke-37 namun jaringan tersebut berjaya dipadam QNET Phoenix seminit kemudian selepas menerima kelebihan pukulan sudut penalti.
Nur Afiqah Syahzani Azhar menjaringkan gol penyamaan tersebut untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk pulang dengan satu mata berharga.
Pengendali QNET Phoenix, Siti Rahmah Othman memuji pemainnya yang telah mengikut perancangan yang diatur dengan sebaiknya selain menyifatkan Negeri Sembilan merupakan pasukan yang baik dan satu mata yang diraih adalah cukup berharga ketika bertemu dengan pasukan yang turun dengan misi mencari kemenangan bagi mengekalkan status juara mereka.
“Saya dapat lihat setiap pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi cuba membawa pulang tiga mata namun kami akur dengan perlu berkongsi satu mata.
“Kami kekal dengan objektif pasukan iaitu mahu berada di dalam kelompok empat pasukan terbaik dan baki tiga perlawanan yang akan datang, adalah perlawanan yang cukup mencabar terutamanya pertemuan dengan Liaoning Women’s Hockey Team dan PDRM Blue Warriors.
“Kami sedar, lawan kami juga mempunyai misi yang sama iaitu untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik namun saya mahu pemain kekal fokus serta konsisten dengan prestasi terbaik mereka selain terus berdisiplin mengikut perancangan pasukan.
“Kami akan terus mengingatkan pemain untuk tidak mempersiakan setiap peluang yang dimiliki untuk mengumpul mata agar kami berjaya mencapai objektif pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jaringan besar 9-0 yang diledak Malaysian University pada pertemuan dengan MSP-PHP-SSNP di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan Pahang meletakkan mereka kini di kedudukan keempat liga selepas mengumpul keseluruhan 11 mata.
Kelebihan jumlah jaringan yang dimiliki Malaysian University menyaksikan Negeri Sembilan yang turut mengumpul keseluruhan 11 mata kini terpaksa berpuas hati untuk berada di kedudukan kelima.
Sembilan gol yang diledak hasil dua gol yang disumbangkan oleh Nuramirah Shakirah Zulkifli menerusi gol padang pada minit ke-14 dan ke-56 sementara Siti Nur Arfah Mohd Nor menyumbang satu gol pukulan sudut penalti pada minti ke-27 serta gol padang pada minit ke-59.
Lain-lain gol yang terhasil dijaringkan oleh Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (m’3 FG), Atiqah Natasha Abdul Jalil (m’11 FG), Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (m’22 FG), Nur Aisyah Nazir (m’53’ FG) dan gol pukulan sudut penalti Nurul Fatin Fatiah Azman pada minit ke-57.
Dua lagi perlawanan yang berlangsung hari ini tamat dengan CS Mustang meraih tiga mata pertama selepas mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Kedah dan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA menewaskan Kuala Lumpur City 3-2 untuk mengumpul keseluruhan kini enam mata.
Perlawanan Keenam (Sabtu – 17 Feb 24)
MUTIARA IMPIAN-MSSPP-PSHA lwn CS MUSTANG HT (Stdm Hoki Bertam – 5:00 petang)
PDRM BLUE WARRIORS lwn MALAYSIAN UNIVERSITY (Stdm Hoki Tun Razak – 5:00 petang)
NEGERI SEMBILAN lwn LIAONING WOMEN`S HOCKEY TEAM (Stdm Hoki Seremban 2 – 5:00 petang)
QNET PHOENIX lwn MSP-PHP-SSNP (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1) – 6:00 petang)
KUALA LUMPUR CITY lwn KEDAH (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (2) – 6:00 petang)









