YB Syed Saddiq Mahu Sokongan Penuh Diberikan Kepada Malaysian Tigers

Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mahu skuad hoki kebangsaan yang akan berjuang dalam perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang Great Britain di London, awal November nanti terkesan dengan ketiadaan sokongan padu khususnya dari penyokong negara sendiri.

Walaupun beraksi sebagai pelawat dalam dua aksi timbal balik di Lee Valley Hockey & Tennis Center, London pada 2 dan 3 November nanti, situasi itu tidak seharusnya mematahkan semangat skuad kendalian Roelant Oltmans.

Lantas Syed Saddiq mengharapkan rakyat Malaysia khususnya di London turun memberikan sokongan kepada Malaysian Tigers.

“Saya yakin walaupun dengan rintangan beraksi di tempat lawan, seluruh rakyat Malaysia khususnya di sana (London) akan turun beramai-ramai memberikan sokongan padu.

“Ini peluang terakhir buat kita untuk layak ke Olimpik, kita perlu tunjukkan semangat kenegaraan kita, berdiri sama teguh bersama pasukan.

“Kita mempunyai pengurusan yang baik, barisan kejurulatihan yang berpengalaman serta semangat pemain cukup berkobar-kobar, ini masanya untuk mereka,” jelas YB Syed Saddiq.

Terdahulu YB Syed Saddiq mengadakan kunjungan ke sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Hadir sama, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal, Timbalan Presiden, Prof. Dato’ Dr Shamala Subramaniam serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

The Malaysian Tigers baharu sahaja pulang dari siri jelajah Korea yang menyaksikan mereka mengharungi empat perlawanan ujian di sana. Ia merupakan sebahagian daripada rangka persiapan mereka bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Mereka akan terbang ke Eropah untuk persiapan terakhir sebelum cabaran sebenar berdepan Great Britain pada 2 dan 3 November.