Pasukan hoki remaja lelaki kebangsaan mengesahkan tempat ke separuh akhir, sekalipun tewas di tangan Pakistan 1-4 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman, hari ini.
Bangladesh yang menjadi pesaing terdekat Young Tigers, hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang China dan sekali gus, membuka pintu seluas-luasnya untuk skuad bimbingan I. Vikneswaran mengisi slot separuh akhir sebelum turun bertemu Pakistan.
Bagaimanapun, kekalahan yang dialami skuad negara menyaksikan Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara dengan Pakistan mengungguli Kumpulan B.
Pakistan yang dibimbing jurulatih, Qamar Ibrahim tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang Young Tigers apabila Sufyan Khan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan pasukannya mendahului 1-0 seawal minit ke-3.
Young Tigers berusaha bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pemain tengah, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit ke-12 bagi mengikat Pakistan 1-1.
Namun begitu, perlawanan yang disambung semula pada babak kedua menyaksikan skuad negara diasak Pakistan bertali arus.
Pintu gol Young Tigers akhirnya dibolosi sekali lagi pada minit ke-35 dan Sufyan terus menjadi duri dalam daging buat skuad negara juga menerusi pukulan sudut penalti.
Pakistan melebarkan kedudukan menjadi 3-1, apabila Abdul Qayyum meledakkan gol hasil jaringan padang pada minit ke-51.
Tidak terhenti setakat itu, Pakistan yang buat sekian kali dihadiahkan penalti stroke menyumbat gol keempat melalui Sufyan yang melakar hatrik pada minit ke-58.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pakistan mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengumpul 12 mata, manakala, Young Tigers yang mencatat dua kemenangan, sekali seri dan sekali kalah mengutip tujuh mata.
Pada separuh akhir, Selasa ini, Young Tigers akan berdepan India selaku juara Kumpulan A.