Hasrat untuk melihat skuad hoki remaja lelaki negara mara ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila mereka tewas 1-3 kepada India pada aksi separuh akhir Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman.
Gol pembukaan India disempurnakan oleh Dilraj Singh pada minit ke-10 menerusi jaringan padang yang sekali gus meletakkan skuad bimbingan Sreejesh Parattu Raveendran itu mendahului Young Tigers 1-0.
Selepas dibolosi, Malaysia yang berusaha keras mempamerkan persembahan berdisiplin tinggi berjaya mengekang asakan India sehingga separuh masa pertama berakhir.
Namun, benteng pertahanan Young Tigers akhirnya dibolosi lagi apabila India yang dihadiahkan pukulan sudut penalti memanfaatkan dengan baik kesempatan itu bagi menjarakkan kedudukan 2-0 melalui jaringan Rohit pada minit ke-45.
Skuad bimbingan I. Vikneswaran itu terus diasak oleh lawan sehingga India meraih satu lagi pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Sharda Nand Tiwari pula mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-52.
Malaysia yang masih belum mahu berputus asa, akhirnya diberikan penalti stroke oleh pengadil dan pemain pertahanan, Azimuddin Syakir Kamaruddin melaksanakan amanah itu dengan baik pada minit ke-57.
Keputusan itu menyaksikan Young Tigers bakal berdepan Jepun bagi perebutan tempat ke-3/4, hari ini. Jepun dalam pada itu tewas kepada Pakistan 2-4 dalam satu lagi separuh akhir yang dilangsungkan lebih awal.
Sekiranya Malaysia berhajat untuk menaiki podium, maka, Young Tigers perlu mencari jalan untuk menewaskan Jepun dan tiada yang mustahil jika barisan pemain muda negara memasang tekad untuk memberikan aksi terbaik bagi memenuhi impian tersebut.
India dan Pakistan pula bakal berentap di pentas akhir bagi menentukan juara remaja Asia sebaik perlawanan tempat ke-3/4 selesai.
Sementara itu, Bangladesh akan bertemu China bagi menentukan kedudukan ke-5/6, manakala, Korea Selatan menentang Thailand untuk tempat ke-7/8.