Skuad remaja wanita kebangsaan membuka kempen Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja Wanita (WJWC) 2025 dengan kekalahan kepada Jepun 1-4 dalam aksi Kumpulan A, hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Santiago, Chile itu, Jepun mendahului seawal minit kelima menerusi gol padang Yoshida Rei diikuti Saiti Hanami (m-8, penalti stroke), Tabuchi Sena (m-10, pukulan sudut penalti) dan Usi Ayano (m-56, pukulan sudut penalti).
Sementara Malaysia meraih gol tunggal hasil jaringan Zawiatul Akma Hartomo yang menyudahkan pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-21.
Secara keseluruhan walaupun tewas ketua jurulatih skuad remaja wanita negara, Lailin Abu Hassan berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya dalam perlawanan itu.
Jelasnya, perasaan gugup pada suku pertama berikutan semua pemainnya membuat penampilan kali pertama di kejohanan berprestij itu menyebabkan tiga gol awal dilepaskan.
“Secara keseluruhan memang saya berpuas hati dengan prestasi mereka meskipun agak gugup pada suku masa pertama yang menyaksikan mereka melepaskan tiga gol.
“Bagaimanapun, mereka bangkit semula dengan perlawanan yang bagus dan mencetak jaringan menerusi gol pukulan sudut penalti.
“Pada suku kedua dan ketiga mereka cuba bangkit dan menunjukkan semangat melawan yang bagus. Mereka juga berjaya mengekang serangan Jepun terutama daripada pukulan sudut penalti. Pasukan lawan memperolehi 9 PC dan hanya mampu menjaringkan satu gol.
“Persembahan pemain amat baik terutama pada suku kedua dan ketiga dan pada suku keempat kami cuba melawan dan meraih dua PC tetapi hanya menjaringkan satu sahaja,” katanya selepas perlawanan.
Selepas ini, Malaysia akan turun berdepan tuan rumah, Chile pada Khamis ini pada pukul 7.15 pagi (waktu Malaysia) bagi aksi kedua Kumpulan A.
Bercakap mengenai perlawanan menentang Chile, Lailin dan barisan kejurulatihan termasuk pemain akan menganalisis kekuatan dan kelemahan lawan bagi merangka taktikal serta strategi terbaik untuk mendapatkan keputusan positif.
“Untuk menentang Chile, kita akan lihat perlawanan antara Chile dengan Belanda untuk buat analisis kelemahan dan kekuatan pasukan Chile. Dan kita akan buat satu perancangan yang terbaik untuk melawan ataupun memberi tentangan walaupun Chile merupakan tuan rumah.
“Pemain-pemain harus bangkit dan tidak membuat kesilapan yang serupa seperti mereka bermain menentang Jepun tadi,” jelasnya.









