TNB Piala Tun Abdul Razak (W) 2017: Selangor Tangguh Hajat ATM

KUALA LUMPUR (21 November 2017): Hasrat pasukan hoki wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memungut tiga mata penuh sekaligus melayakkan diri ke separuh akhir saingan TNB Piala Tun Abdul Razak lebih awal gagal apabila Selangor berjaya bangkit untuk menang 2-1 di Stadium Hoki Kuala Lumpur sebentar tadi.

ATM sebelum ini telahpun mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama menentang Johor dalam kumpulan B dan sekiranya menang ke atas Selangor sebentar tadi, mereka pastinya telah selangkah ke pusingan separuh akhir.
Pasukan Selangor pula sekadar seri 1-1 ketika menentang Melaka dalam perlawanan pertama dan kemenangan ini kembali meletakkan mereka di landasan yang tepat bagi terus memburu tempat ke peringkat seterusnya saingan Piala Tun Abdul Razak tahun ini.

Apapun, ATM terlebih dahulu di depan melalui jaringan Siti Rahmah Othman hasil daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-17 perlawanan. Tersentak dengan gol itu, Selangor cuba mengasak namun usaha mereka berjaya dihalang menyaksikan separuh masa pertama kekal ATM di depan dengan 1-0.

Bermula separuh masa kedua, taktikal Selangor yang menekan benteng pertahanan ATM nyata membuahkan hasil. Pada minit ke-38 mereka dihadiahkan penalti stroke dan Fatin Shafikah Mohd Sukri berjaya menolak masuk gol itu untuk jaringan penyamaan pasukan Selangor.

Tidak cukup dengan itu, Selangor terus menyerang dan hasilnya seminit kemudian, mereka sekali lagi berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Raja Norsharina Raja Shahbudin untuk menolak masuk gol kedua Selangor yang juga merupakan gol kemenangan penting buat pasukannya.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabbar berkata, “Kemenangan yang sangat penting untuk Selangor dan kita tahu sebenarnya kita boleh bermain dengan lebih baik tetapi inilah hoki, ada masanya kita kena bersedia dalam keadaan tertekan. Hari ini ATM betul-betul memberi cabaran dan alhamdulilah kami berjaya bangkit untuk menang dengan 2-1.

“Sebagai jurulatih sudah pastilah kami akan memberi yang terbaik dan kami juga telah menganalisis corak pasukan Johor. Selebihnya terpulang kepada pemain sendiri serta keinginan mereka untuk menang. Pastinya Johor akan memberikan cabaran hebat (dalam aksi terakhir) kerana keempat-empat pasukan masih berpeluang untuk ke separuh akhir, jadi semua pasukan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan,” katanya selepas perlawanan.

Di sebelah petang, perlawanan Kumpulan A menyaksikan Terengganu berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 mengatasi Indonesia. Kedua-dua gol Terengganu dihasilkan pada suku terakhir perlawanan melalui gol padang Auni Athika Ghani pada minit ke-53 dan satu lagi gol padang menerusi Siti Azlinda Atan pada minit ke-58 untuk kemenangan kedua Terengganu dalam kejohanan ini.

Dalam satu lagi perlawanan pada sebelah malam, Pahang membuktikan kewibawaan mereka selaku juara bertahan kejohanan ini selepas mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. Pahang menang 2-0 mengatasi Perak untuk unggul mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan A.

Dua gol Pahang yang dijaringkan melalui pukulan sudut penalti masing-masing disudahkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani pada minit ke-27 dan gol kedua menerusi sentuhan Siti Zulaikha Hussin pada minit ke-43. Pahang masih menantikan pasukan di kedudukan kedua kumpulan B untuk ditemui di separuh akhir yang dijadualkan Jumaat ini dan esok juga merupakan aksi terakhir peringkat kumpulan untuk semua pasukan.

Keputusan Penuh

ATM 1-2 Selangor (Kumpulan B)
Terengganu 2-0 Indonesia (Kumpulan A)
Perak 0-2 Pahang (Kumpulan A)

Jadual Perlawanan Esok (22 November 2017):
8.00AM- Melaka Lwn ATM (Kumpulan B)
3.00PM- Johor Lwn Selangor (Kumpulan B)
5.00PM- Perak Lwn Terengganu (Kumpulan A)
7.00PM- Kuala Lumpur Lwn Indonesia (Kumpulan A)

*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur

Recent Posts

Leave a Comment